Pemohon sijil lahir ‘ditendang seperti bola’

0

Kado

SIBU: Seorang pemuda, Kado Nabau, 21, dari Rumah Sangga, Nanga Ulin, Hulu Poi, Kanowit melahirkan rasa terkilan setelah pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kanowit memberi alasan ‘tidak cukup kakitangan’ semasa membuat permohonan sijil lahir di pejabat itu baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, Kado turut diarahkan supaya menunggu untuk memohon sijil lahir tersebut tanpa sebab munasabah dan pihak JPN Kanowit juga didakwanya sering ‘menuding jari’ kepada JPN Song untuknya memohon sijil lahir di sana.

“Banyak kali saya diarahkan sebegitu. Saya pun ke Song tanpa banyak soal untuk membuat sijil lahir, namun sampai sekarang sijil lahir itu masih gagal dibuat.

“Saya telah membelanjakan kira-kira RM1,000 ulang-alik dari Bintulu-Kanowit-Song untuk tambang bas, bot ekspres, hotel penginapan dan makan minum semata-mata mahu membuat sijil lahir.

“Bila saya sampai di JPN Song, kakitangan di sana suruh saya merujuk ke JPN Kanowit. Bila sampai di JPN Kanowit, kakitangan di sana suruh saya pergi lagi ke Song.

“Keadaan ini entah berapa kali berlaku dan menghairankan saya, kenapa susah sangat JPN mahu menerima pemohonan saya sedangkan semua bukti dan keperluan disediakan,” katanya semalam.

Menurutnya, pejabat JPN Kanowit dan JPN Song sepatutnya dapat meluluskan permohonannya memandangkan keperluan seperti bukti tertentu lengkap dibawanya bersama.

“Amat menghairankan macam mana pejabat JPN Kanowit tidak cukup kakitangan sedangkan ia beroperasi?

“Saya fikir tidaklah sesibuk seperti pejabat-pejabat JPN bahagian yang mempunyai ramai pelanggan yang berkunjung untuk membuat sesuatu proses yang berkaitan,” jelasnya.

Menurutnya, sebelum itu dia bekerja di sebuah kedai tayar di Bintulu dan ini memaksanya berulang-alik dari Bintulu-Kanowit-Song untuk memohon sijil lahir.

“Disebabkan tiada kad pengenalan, saya terpaksa diberhentikan oleh tauke dan saya kemudian bekerja di sebuah kem pembalakan di Selangau.

“Nasib saya malang apabila kem itu ditutup dan kini saya tiada pekerjaan.

“Ia amat sukar disebabkan tiada sijil lahir dan kad pengenalan kerana saya susah mahu mencari pekerjaan,” luahnya dengan nada kecewa.

Kado berkata, ibunya Ronie Ilun sebelum ini baharu sahaja menerima kad pengenalan pada Julai tahun lalu dan ini akan memudahkannya membuat proses permohonan sijil lahir seterusnya kad pengenalan.

“Dahulu JPN Kanowit memberitahu saya bahawa untuk memohon sijil lahir, ibu mesti mempunyai kad pengenalan baharulah anak dapat memohon sijil lahir.

“Jadi, selepas ibu saya memperolehi kad pengenalannya pada Julai tahun lalu saya terus pergi memohon sijil lahir.

“Namun, proses saya mahu mendapatkan sijil lahir pun masih gagal sehingga kini.

“Lebih menyedihkan kakitangan JPN memberi pelbagai alasan semasa saya berkunjung ke pejabat itu, entah berapa kali saya ke sana, jawapan sama diberikan.

“Ini amat menyedihkan saya, kenapa kakitangan JPN melambat-lambatkan proses permohonan saya,” tegasnya.

Tambahnya, ketiga-tiga adiknya yang lain turut menerima nasib sama iaitu tidak mempunyai sijil lahir sehingga adik bongsunya tidak dapat diterima belajar di tadika walaupun sudah cukup umur.

“Disebabkan tiada sijil lahir dan kad pengenalan, saya juga terpaksa berhenti sekolah semasa berada di tingkatan dua.

“Ini kerana urusan sekolah memerlukan sijil lahir dan kad pengenalan dalam proses tertentu,” ujarnya.

Beliau memohon agar JPN lebih berintegriti dalam menjalankan khidmat mereka kepada rakyat serta memberi keutamaan kepada individu-individu senasib dengannya.