Polis percaya selesai kes bunuh pelajar Curtin, buru suspek ke-11

0

SELESAI: Mun menunjukkan gambar seorang suspek (sisipan) yang masih bebas dan dikehendaki polis untuk melengkapkan siasatan kes.

MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan kes bunuh seorang pelajar Curtin University Sarawak dengan tertangkapnya 10 suspek termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga asing hasil serbuan di beberapa rumah di Tudan dan Taman Tunku, di sini pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Mun Kock Keong berkata, pihaknya kini memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai George Kalang untuk melengkapkan siasatan kes.

Katanya George berusia 31 tahun, pemegang MyKad bernombor 830531-13-6226 dan beralamat terakhir di Tudan Desaras di sini.

“Justeru, polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana suspek ini berada agar menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, ASP Zainan Azili Abdul Latiff melalui talian 0111-2099878 dengan segera,” katanya sambil memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Pada masa sama, polis di sini juga menggesa agar suspek terbabit menyerah diri dengan segera untuk membantu siasatan.

Menyentuh lanjut berhubung tangkapan ke atas suspek, beliau berkata bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri dan anggota D9 (Cawangan Jenayah Berat) daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak diketuai ASP Cheong Soon Yew melakukan tangkapan di beberapa rumah di kawasan Tudan, Tudan Desaras dan Taman Tunku.

Katanya daripada jumlah 10 orang yang ditangkap, seorang (lelaki) merupakan warga asing yang belum dapat dipastikan kerakyatannya.

“Polis akan melakukan semakan dengan Jabatan Imigresen untuk menentukan kerakyatannya yang sebenar,” kata-nya sambil memberitahu baha-wa semua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebuah silinder gas dipercayai dicuri dari rumah mangsa dan tiga motosikal yang dipercayai digunakan mereka semasa kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal polis juga mendedahkan beberapa orang daripada suspek yang ditangkap kelmarin, pernah ditangkap polis sebelum ini kerana terlibat dalam kes pecah rumah,” katanya.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Miri DSP Nixon Joshua Ali, ASP Zainan dan ASP Cheong.

Sementara itu, semua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam diperintahkan supaya direman enam hari bermula hari ini sehingga 20 Januari ini mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat ASP Zainan.

Dalam kejadian 4 Januari lalu, mangsa dikenali sebagai Mu Tshun Vui, 19, berasal dari Sandakan, Sabah ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tepi tangga di tingkat bawah rumah sewanya di Desa Senadin di sini.

Kejadian itu hanya disedari seorang rakan serumahnya sekitar jam 1.30 petang, 4 Januari lalu yang baharu tibai dari kampung.

Semasa kejadian, mangsa merupakan penuntut tahun kedua di universtiti tersebut tinggal berseorangan serta baharu sahaja pulang bercuti dari kampung sempena cuti semester.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras yang terdapat di tempat kejadian.