Banjir, tanah runtuh

0

Tinjauan banjir di Sungai Tamparuli yang memutuskan hubungan pengguna jalan ke Pekan Kiulu akibat insiden terbabit.

40,000 penduduk Tamparuli dan Kiulu terjejas

KIULU: Kira-kira 40,000 penduduk di sini terjejas selepas laluan Jalan Tamparuli-Kiulu berhampiran Kampung Rangalau Lama di Kilometer 6.1, di sini, runtuh akibat mendapan jalan kelmarin.

Dalam insiden berlaku sekitar jam 11.30 malam itu, jalan menghubungkan 45 kampung itu terputus sejauh kira-kira 40 hingga 50 meter akibat kejadian tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat tanpa henti sejak Selasa lalu terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tindakan lanjut.

“Setakat tengah hari kelmarin, kerja-kerja membaik pulih jalan yang terjejas sudah dijalankan.

“Kita juga sudah memaklumkan kepada pihak berwajib berhubung insiden ini termasuklah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk melakukan pemantauan sekiranya terdapat tiang-tiang elektrik yang tumbang ekoran kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Saya juga menasihatkan para penduduk agar bersabar menghadapi kesulitan ini dan menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Lawamandou-Telipok untuk ke destinasi mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo di Sungai Tamparuli turut mendapati ia mula melimpah ruah sehingga mengakibatkan sebuah jambatan penghubung kenderaan ke Pekan Kiulu terpaksa ditutup sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Abdul Fuad Abdul Malik berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat petang kelmarin berhubung insiden tanah runtuh berkenaan.

Menurutnya, orang ramai khususnya pengguna jalan raya di minta lebih berhati-hati ketika memandu di musim hujan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Setakat petang kelmarin, laluan di Kilometer 6.1 Jalan Tamparuli-Kiulu terpaksa ditutup bagi kenderaan kerana kejadian tanah runtuh,” katanya.

Sementara itu di Penampang, lebih 100 pengguna jalan raya terkandas hampir enam jam selepas laluan di Kilometer 35 berhampiran Kampung Tagudon, Moyog,  terjejas akibat insiden bukit runtuh dalam kejadian pagi kelmarin.

Insiden yang berlaku jam 9.30 pagi itu mengakibatkan laluan yang menghubungkan Jalan Tambunan ke pusat bandar itu terputus kira-kira 100 meter.

Seorang pemilik kenderaan Bailon Sangkui, 44, berkata, pada mulanya dia tidak menyedari akan kejadian tanah runtuh itu memandangkan ketika insiden dia sedang berpatah balik dari Kota Kinabalu atas urusan perniagaan menggunakan laluan berkenaan.

“Bagaimanapun sekitar jam 10 pagi, saya terkejut apabila mendapati jalan di situ sudah terputus akibat bukit runtuh.

“Insiden ini mengakibatkan ramai pengguna jalan raya termasuk saya terpaksa menunggu hampir enam jam sementara menanti kerja-kerja membersih dan membaikpulih laluan itu seperti sediakala,” katanya.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Polis turut menasihatkan para pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang ingin menuju ke Keningau atau Tambunan agar memilih laluan alternatif lain seperti laluan di Kimanis untuk ke destinasi masing-masing.

“Dalam masa sama, kita juga memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk meningkatkan aspek keselamatan ketika berada di laluan terjejas bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya.