Tanah runtuh di Kilometer 35 berhampiran Kg Tagudon, Moyog

0

Terkandas hampir enam jam

PENAMPANG: Lebih 100 pengguna jalan raya terkandas hampir enam jam selepas laluan di Kilometer 35 berhampiran Kampung Tagudon, Moyog, di sini, terjejas akibat insiden bukit runtuh dalam kejadian pagi kelmarin.

Insiden yang berlaku jam 9.30 pagi itu mengakibatkan laluan yang menghubungkan Jalan Tambunan ke pusat bandar itu terputus kira-kira 100 meter.

Salah seorang pemilik kenderaan Bailon Sangkui, 44, berkata, pada mulanya dia tidak menyedari akan kejadian tanah runtuh itu memandangkan ketika insiden dia sedang berpatah balik dari Kota Kinabalu atas urusan perniagaan menggunakan laluan berkenaan.

“Bagaimanapun sekitar jam 10 pagi, saya terkejut apabila mendapati jalan di situ sudah terputus akibat bukit runtuh.

“Insiden ini mengakibatkan ramai pengguna jalan raya termasuk saya terpaksa menunggu hampir enam jam sementara menanti kerja-kerja membersih dan membaikpulih laluan itu seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Polis turut menasihatkan para pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang ingin menuju ke Keningau atau Tambunan agar memilih laluan alternatif lain seperti laluan di Kimanis untuk ke destinasi masing-masing.

“Dalam masa sama, kita juga memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk meningkatkan aspek keselamatan ketika berada di laluan terjejas bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya.