Tiada penduduk dipindahkan ketika pelepasan air empangan

0

KOTA KINABALU: Khabar angin yang disebarkan dalam laman sosial mengenai penduduk kampung terpaksa dipindahkan akibat paras air berbahaya di Empangan Babagon adalah tidak benar.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika dihubungi kelmarin bagaimanapun tidak menafikan sistem penggera ada dibunyikan sebagai tanda amaran.

“Siren memang ada dibunyikan bagi memberi amaran kepada penduduk kampung dan sekitarnya. Namun ia adalah amaran supaya penduduk menjauhi segala aktiviti di kawasan sungai dan juga parit untuk keselamatan,” katanya.

Mengenai pelepasan air secara rambang tanpa pemberitahuan orang ramai, beliau berkata khabar angin itu tidak benar memandangkan limpahan air hanya dilepaskan menerusi saluran khas.

Katanya, amaran perpindahan hanya dikeluarkan apabila tahap paras bahaya air empangan mencatat ketinggian 137.5 meter.

“Secara keseluruhannya, tidak ada perkara yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jetama Sdn Bhd Datuk Jack Nointien berkata, dengan keadaan paras air yang tinggi di empangan itu pihaknya perlu melepaskan limpahan air menerusi saluran khas yang dibina di antara Kampung Tampasak sebelum menuju ke Sungai Moyog.

Beliau menjelaskan dua sistem penggera juga dipasang bagi memberi amaran kepada penduduk sekitar sebelum pelepasan limpahan terbabit.

Katanya pihaknya juga ada memasang sistem petunjuk bagi mengetahui tahap paras air di kawasan empangan.

“Sistem penggera dibunyikan untuk mengelakkan komuniti mengadakan sebarang aktiviti atau bermain di kawasan limpahan, kerana kadangkala ada kanak-kanak yang bermain di kawasan terbabit seperti hari-hari biasa,” katanya.

Jack berkata, penduduk kampung sekitar juga dididik mengenai sistem terbabit dan waspada apabila tanda amaran dikeluarkan.

“Kita sudah memberikan taklimat ringkas kepada mereka mengenai cara sistem ini berfungsi,” katanya.