Tiada pelepasan air di Empangan Babagon

0

PENAMPANG: Penduduk di daerah ini dinasihatkan supaya tidak mempercayai khabar angin berlakunya pelepasan air di Empangan Babagon, sehingga mencetuskan kebimbangan banjir kilat di kawasan ini pada Rabu lepas.

Jurutera Daerah Jabatan Air Kota Kinabalu Ir Teo Chee Kong berkata, dakwaan itu tidak berasas sama-sekali memandangkan hanya situasi air di empangan berkenaan melimpah berikutan faktor hujan lebat tempoh hari dan kejadian terbabit dianggap perkara normal.

Beliau mengakui siren di empangan dibunyikan pada 15 Januari lalu, namun ia bertujuan memberi amaran kepada penduduk setempat agar menjauhi sungai-sungai berhampiran bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Bacaan meter struktur saluran keluar dari empangan ketika itu menunjukkan kira-kira 220 meter berbanding kapasiti maksimum 130.50 meter.

“Faktor hujan lebat yang berlaku semalaman pada ketika itu mengakibatkan air di Empangan Babagon melimpah sehingga kita bertindak membunyikan siren yang bertujuan memberi amaran kepada penduduk untuk menjauhi sungai-sungai berhampiran.

“Dakwaan pihak jabatan melepaskan air di empangan adalah tidak berasas sama-sekali dan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berhubung isu ini, sila hubungi talian 088-711767 bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya ketika ditemui di empangan Babagon kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh menggesa orang ramai tidak terlalu gopoh mempercayai sesuatu maklumat berhubung insiden berkenaan tanpa mendapatkan kesahihan daripada pihak berwajib.

“Ini berikutan tindakan menyebarkan maklumat seperti itu boleh mencetuskan huru hara khususnya di kalangan penduduk Penampang.

“Polis mengesahkan daerah Penampang masih selamat diduduki meskipun dakwaan berlaku banjir besar seperti mana digembar-gemburkan oleh pihak tertentu di laman sosial atau menerusi telefon pintar pada Rabu lalu,” katanya.