10 RRD sedia galas tugas dalam semua keadaan

0

KOTA SAMARAHAN: Warga Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) bersiap sedia untuk melaksanakan tugas dalam sebarang keadaan dan kemungkinan.

Pegawai Memerintah 10 RRD Leftenan Kolonel Ismail Nasaruddin Yeop berkata, semangat juang tinggi yang ditunjukkan seluruh pasukan itu dalam semua bidang membuktikan mereka bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan tugas.

“Semangat juang yang ditunjukkan seluruh warga 10 RRD dalam semua bidang menunjukkan pasukan ini bersiap sedia untuk melaksanakan tugas dalam sebarang keadaan dan kemungkinan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun 10 RRD Ke-19 dan Majlis Serah Tugas Sarjan Mejar Rejimen (SMR) di Padang Kawat 10 RRD, Kompleks Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Jalan Muara Tuang di sini semalam.

Ismail berkata, selain itu warga 10 RRD juga akan meneruskan tanggungjawab dalam membantu agensi tempatan seperti melaksanakan projek jiwa murni di negeri ini.

“Pada 2011 kita telah mengenal pasti 11 kampung di lima daerah, antaranya Kampung Semelatong dan Kampung Gedong di Simunjan, Kampung Wong Panjai, Kampung Melayu dan Kampung Engkelili di Lubok Antu, Kampung Nanga Murat, Kampung Pantu dan Kampung Lingga di Sri Aman Kampung Abit di Balai Ringin, Kampung Serpan Laut di Asajaya,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu sepanjang penubuhan 10 RRD di Sarawak, pelbagai kejayaan telah dicapai pasukan itu di peringkat briged, divisyen mahupun Tentara Darat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada majlis itu juga, Ismail turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 38 penerima, sijil tamat kursus asas perajurit kepada 21 penuntut.

Beliau turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada seorang Renjer yang dinaikkan kepada Lans Koperal dan 17 Lans Koperal ke Koperal.

Selain itu, Ismail turut menyaksikan majlis serah tugas Sarjan Mejar Rejimen Pegawai Waran Michal Tuleh kepada Pegawai Waran Douglas Duin.

Acara perbarisan semalam terdiri daripada 18 pegawai dan 203 anggota lain-lain pangkat 10 RRD.