Enam atlet wushu Sarawak ikuti pemilihan skuad kebangsaan

0

KUCHING: Enam atlet wushu remaja Persekutuan Wushu Sarawak mengikuti sesi pemilihan skuad kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Pemilihan itu bertujuan mencari atlet bagi mewakili negara pada Kejohanan Wushu Remaja Dunai yang akan diadakan di Antalya, Turki pada 11 hingga 18 Mac depan.

Mereka terpilih ialah Yong Arifah Khairul Kok (SMK Sungai Maong, Kuching), Fu Wen Jie (SJK Chung Hua No. 4, Kuching), Lee Hui Xian (SMK Bandar Kuching No. 1, Kuching), Stephanie Ngu Cai Ern (SJK Thai Kwang, Sibu), Bong Yun Pin (SJK Chung Hua Pending, Kuching) dan Landy Liew Jia Yee (SJK Chung Hua No. 3, Kuching).

Menemani kumpulan tersebut ialah Jurulatih Pusat Kecemerlangan Wushu Kuching, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Ling Ung Hee.

Menurutnya, 10 atlet remaja dipilih untuk menjalani latihan intensif selama 10 bulan namun hanya enam berjaya melayakkan diri ke Bukit Jalil.

“Persekutuan Wushu Malaysia akan memilih beberapa atlet remaja bagi kategori B dan C untuk menghadapi kejohanan itu dan saya yakin atlet Sarawak mampu mempamerkan aksi terbaik mereka,” katanya.

Enam atlet terbabit dipilih berdasarkan prestasi cemerlang mereka ketika Kejohanan Wushu Sarawak pada Disember lalu.

Mereka juga adalah pelatih program pembangunan wushu negeri yang dilatih untuk menghadapi Kejohanan Wushu Remaja Kementerian Pelajaran Malaysia dan Sukan Malaysia (SUKMA).

Pada 2012, empat atlet remaja Sarawak terpilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia keempat berlangsung di Macau, China pada 17 hingga 25 September depan.

Mereka ialah Elvic Bong Qian Zheng, Clement Thian Fung Seng, Fu Wen Jie dan Nicholas Kho How Jun.

Clement berjaya merangkul emas dalam acara nanquan remaja lelaki B dan keempat dalam nangun.

Manakala Elvic meraih perak dalam acara jianshu remaja lelaki B dan keenam dalam acara qiangshu.

Nicholas Kho pula menduduki tempat ke-14 dalam acara changquan remaja lelaki C.

Dalam kategori perempuan C, Fu menduduki tempat kelima dalam acara jianshu dan tempat ke-12 acara changquan.