Dua lelaki maut nahas di Pekan

0

PEKAN: Dua lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu masing-masing terbabit kemalangan di KM29 Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata nahas kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah lori lima tan jenis Isuzu.

“Pemandu pacuan empat roda Yeo Kee Wah, 29, dari Jalan Besar, Kuantan dan pemandu lori Mohd Nazir Mohd Yusoff, 36, yang berasal dari Kampung Baru, Batu 9 di sini, mati di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mereka mati akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat, katanya.

Menurutnya siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu,  yang dalam perjalanan ke Pekan, telah terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama