311 PTI ditahan di Sabah

1

KOTA KINABALU: Seramai 311 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam Ops Bersepadu 5P yang dijalankan di sekitar Sabah awal pagi kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Noor Alam Khan berkata, tangkapan membabitkan sebanyak 124 tangkapan di sekitar Kota Kinabalu, 35 (Sandakan), 56 (Keningau), 20 (Lahad Datu) dan 76 (Tawau).

Mereka yang terdiri seramai 191 warga Filipina dan 120 Indonesia merangkumi 150 lelaki, 108 perempuan dan 53 kanak-kanak itu ditahan semasa operasi di kawasan setinggan dan pembinaan.

Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) dan Seksyen 15 (1) (C)  Akta Imigresen 1959/1963 serta dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Papar, Sandakan dan Tawau untuk tindakan lanjut.

“Operasi berkenaan dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk tapak pembinaan dan kawasan setinggan di sekitar negeri ini.

“Kita memeriksa seramai 762 individu dan 311 daripadanya ditahan bagi tindakan lanjut atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Ini adalah usaha membendung masalah pendatang yang tidak mempunyai dokumen sah serta menduduki negeri secara haram,” katanya sambil menambah, kesemua PTI yang ditahan didapati berasal dari negara Filipina dan Indonesia.

Sementara itu di ibu negeri, sepasukan penguatkuasa melakukan serbuan di beberapa lokasi termasuk tapak pembinaan dan kawasan penempatan setinggan berhampiran Taman Likas Jaya, Inanam, Menggatal, Sepanggar, Penampang dan Putatan bermula jam 12 tengah malam kelmarin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan di ibu negara berkata, seramai 1,565 PTI berjaya ditahan dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

Ini secara tidak langsung membuktikan kerajaan menolak kompromi berhubung isu PTI di bawah Program Khas Pengurusan PTI (PKPP) yang dilaksanakan secara besar-besaran bermula kelmarin.

Menurutnya, seramai 10,000 penguatkuasa di bawah kementerian termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara akan terlibat dalam operasi itu.

Ahmad Zahid turut menegaskan operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan sehingga pesalah PTI ditangkap dan dihantar pulang dalam tempoh tujuh hari bagi mengelak pembaziran kos serta kesesakan berlaku di pusat tahanan.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini memberikan tempoh tiga bulan kepada majikan bermula 21 Oktober tahun lalu untuk mendaftarkan pekerja warga asing mereka di bawah PKPP dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang didapati melanggar peraturan.