Dua sekolah rendah di Lawas ditutup akibat banjir

0

DITUTUP: SK Luagan Sundar ditutup sehari mulai semalam berikutan keadaan banjir yang melanda sekolah terbabit.

LAWAS: Dua sekolah rendah di daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan Sundar dan SK Aru Sundar ditutup mulai pagi semalam berikutan keadaan sekolah dinaiki air akibat hujan lebat melanda daerah ini sejak kebelakangan ini.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Lawas Awang Ibrahim Ahmat berkata, kedua-dua sekolah berkenaan ditutup sehari dan akan dibuka selepas air mulai surut dan bergantung kepada keadaan cuaca.

Beliau berkata, selain dua sekolah rendah terbabit, terdapat sekolah lain yang turut digenangi air termasuk SK Trusan dan SMK Sundar, namun keadaan banjir tidak serius dan warga sekolah masih dapat menjalankan persekolahan seperti biasa.

“Hanya dua sekolah rendah ditutup setakat ini (SK Luagan Sundar dan SK Aru Sundar) dan kami meminta pihak sekolah dan ibu bapa agar membuat laporan kepada kami sekiranya keadaan air naik mendadak,” katanya di sini semalam.

Awang Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir (JPB) PPD Lawas berkata, JPB turut ditubuhkan untuk melaporkan keadaan banjir di setiap sekolah yang terjejas setiap hari.

“Laporan terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah untuk tindakan selanjutnya jika keadaan banjir semakin teruk,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga turun padang melakukan pemantauan di lokasi sekolah yang terjejas banjir.

“Setakat ini, kami belum menerima laporan mengenai kerosakan infrastruktur sekolah yang teruk akibat banjir,” katanya.