Jadikan al-Quran panduan utama, sumber rujukan umat Islam

0

ALBUM: Hasanuddin (barisan depan, enam kiri) serta para tetamu jemputan yang lain merakam kenangan bersama qari dan qariah pada Majlis Penutupan Pertandingan Tilawah Al-Quran Zon 3 Daerah Kanowit.

SIBU: Al-Quran perlu dijadikan panduan utama dan sumber rujukan dalam apa sahaja aktiviti dan kehidupan masyarakat Islam.

Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Zon Tengah Ustaz Hasanuddin Bujang berkata, ia termasuk akidah, syariat dan akhlak masyarakat itu sendiri.

Menurutnya, umat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai satu budaya untuk membentuk kehidupan serta keperibadian yang baik dan juga boleh dijadikan sebagai vaksin untuk semua jenis penyakit rohani atau fizikal.

“Al-Quran adalah mesej daripada Allah yang penuh dengan mukjizat dan keagungan yang diturunkan melalui Nabi Muhammad kepada umat manusia.

“Ia adalah kitab suci yang menyediakan panduan mengenai adab dan peraturan dalam hidup umat Islam,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Tilawah Al-Quran Zon 3 Daerah Kanowit di Surau Darul Iman, Kampung Muhibbah, Kanowit dekat sini, baru-baru ini.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Zon 3 Tilawah al-Quran dan disertai kira-kira 200 qari dan qariah daripada jabatan-jabatan kerajaan tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Jelasnya, sejarah juga membuktikan bahawa al-Quran telah dapat menyatukan rakyat untuk menghasilkan generasi yang kuat dan bertamadun.

Beliau kemudiannya menggesa masyarakat Islam supaya mempunyai keseimbangan antara kehidupan fizikal dan rohani di dunia ini dan akhirat.

“Sebagai seorang Muslim, kesederhanaan dalam hidup adalah sangat penting dan kita mesti mengikuti ajaran Nabi Muhammad,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd Aminuddin Khamdan, Mohtadza Adi dan Ismandy Hamid masing-masing diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dalam kategori qari.

Bagi kategori qariah, Bariah Salim, Hamiyah Marsidi dan Junainah Hanikal masing-masing di tempat pertama, kedua dan ketiga.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli, Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Ismail Mahmud, Ketua Jabatan Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail dan pengerusi jawatankuasa penganjur Abang Haironizan Abang Othman.