Jangan memanipulasi harga barang

0

PANTAU HARGA: Abdul Rahman memantau harga barang di Medan Niaga Satok sambil diperhatikan Naroden dan Karim.

Jika keadaan itu terus berlaku kerajaan mungkin akan bertindak jadi orang tengah

KUCHING: Pembekal dan pengedar barang runcit diberi amaran agar tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga barang tersebut pada kadar tidak munasabah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, jika keadaan seperti itu terus berlaku kerajaan mungkin akan bertindak menjadi orang tengah.

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil kerajaan termasuk mewujudkan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan koperasi yang bertindak sebagai pengedar barangan.

“Kalau kerajaan masuk dan menjadi orang tengah (pengedar atau pembekal) jangan salahkan kerajaan.

“Ini kerana kerajaan sudah memberi banyak amaran dan teguran kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan harga barang di Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat pembekal dan pengedar menaikkan harga barangan runcit antara 20 hingga 30 peratus.

“Kalau perkara seperti ini berlaku, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menambah bilangan orang tengah untuk mengawal harga barangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu kerajaan untuk memantau harga barangan runcit.

“Peranan masyarakat dan NGO penting untuk membantu kerajaan dalam hal ini (memantau harga barang).

“Agak mustahil untuk anggota penguat kuasa memantau harga di semua pasar dan kedai runcit seluruh negara,” jelasnya.

Malah katanya, kerajaan turut merancang untuk mewujudkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) untuk memantau harga barang runcit di kawasan bandar.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Bandar Kuching Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.