Pengawal keselamatan perlu jaga imej

0

ANTARA demonstrasi latihan yang ditunjukkan pada penutupan kursus itu.

PUTATAN: Pengawal keselamatan perlu menanamkan semangat dan disiplin diri dalam memastikan arahan serta penugasan mampu dilaksanakan sebaik mungkin.

Pengerusi Zon Sabah Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM)  Kapten (B) Najmuddin Mohd Ibrahim berkata, elemen berkenaan adalah penting bagi membantu imej industri pengawal keselamatan di kalangan masyarakat.

“Sehubungan itu, untuk menjadi seorang pengawal keselamatan yang cemerlang, semangat dan disiplin diri adalah satu kemestian agar segala arahan serta penugasan kerja diamanahkan oleh syarikat atau pelanggan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Secara tidak langsung, aspek itu akan membantu menaikkan imej seseorang pengawal keselamatan di mata masyarakat awam, katanya yang juga Pengarah Urusan Securido Guard Services Sdn Bhd itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena perasmian penutupan kursus tahap 1 siri 01/2014 pengawal keselamatan yang berlangsung di Securido Guard, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Operasi Securido Guard Services Sdn Bhd Mohd Fadli Shah Najmuddin.

Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 45 pelatih dari Securido Guard Services dan syarikat UMW Toyota Sabah menamatkan kursus yang berlangsung selama lima hari.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan kursus terbabit, Najmuddin berkata ia adalah sebahagian daripada prosedur Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewajibkan semua syarikat kawalan keselamatan menghantar 65 peratus daripada jumlah anggota pengawal keselamatan semasa bagi menjalani latihan.

“Selepas ini, kita bakal melaksanakan satu lagi kursus latihan di Sibu, Sarawak.

“Ia secara tidak langsung memberi impak positif terhadap industri pengawal keselamatan ini untuk berkembang ke hadapan,” katanya.