Sebuah premis perniagaan diambil tindakan

0

KELIHATAN pegawai penguatkuasa membuat pemeriksaan dalam operasi itu.

KENINGAU: Satu lagi premis perniagaan di sekitar pekan ini diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Penandaan Harga Runcit 1993.

Pegawai Pejabat Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Keningau A Runji Abd Hamid berkata, premis perniagaan itu diambil tindakan kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualannya.

Katanya, tindakan itu dibuat dalam operasi Ops Harga 2.0 yang dijalankan di kawasan perniagaan di Pasar Umum Keningau dan beberapa premis perniagaan di sini pada Isnin.

“Premis terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah,” katanya.

Minggu lepas, enam premis perniagaan di sekitar pekan ini diambil tindakan di bawah akta yang sama.

Mengenai operasi itu, A Runji berkata, ia dijalankan berterusan bagi membendung peniaga yang menaikkan harga dengan sesuka hati dan tidak berpatutan.