Yahya: Kaji larangan eksport ikan

0

Yahya bersama ketua serta wakil ketua biro agensi media mengaul ‘Yee Sang’.

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengkaji kemungkinan untuk melarang pengeksportan ikan atau makanan laut dari negeri ini ke negara lain.

Menterinya Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, kementerian itu masih lagi mengkaji sama ada akan melarang pengeksportan makanan laut di negeri ini atau sebaliknya.

“Kita akan fikir untuk mewujudkan satu suasana yang lebih baik bagi orang-orang Sabah sebab kadang-kala kita lihat ikan yang baik-baik seperti udang galah dan yang berkualiti itu dieksport cuma yang tinggal gred bawah.

“Jadi, kita akan kaji sama ada akan melarang atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mengeluarkan larangan pengeksportan beberapa jenis ikan baru-baru ini.

Tindakan memberhentikan pengeskportan ikan sementara waktu itu dilakukan bagi mengawal harga ikan disebabkan laut bergelora dan masalah banjir.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri membuat pengumuman demikian pada 13 Januari lalu.

Antara ikan yang dilarang untuk dieksport adalah ikan kembung, ikan selar, kerisi, cencaru, tamban dan selar kuning.

Yahya berkata, bekalan makanan luat seperti ikan di negeri ini mencukupi dan setakat ini, Sabah masih lagi mengeksport ikan ke beberapa negara termasuk Eropah dan Hong Kong.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Tengahari bersama pengamal media sempena Tahun Baharu Cina 2014, di sini, kelmarin.

Mengenai kewujudan pasar nelayan, Yahya berkata, kewujudan pasar itu dilihat memberi kebaikan kepada nelayan dan orang ramai kerana ia dapat mengelakkan peranan orang tengah yang selalunya mengaut lebih keuntungan.

Dengan wujudnya pasar nelayan, mereka dapat memasarkan ikan yang diperoleh tanpa menggunakan orang tengah yang selalu mengakibatkan berlaku kenaikan harga ikan.

“Kadangkala pada musim tengkujuh harga ikan memang naik tetapi secara umumnya harga ikan (di negeri ini) berada pada tahap yang sederhana.

“Malah, harga ikan di Tawau, Semporna dan Sandakan jauh lebih murah,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada kementeriannya ada menerima sebarang laporan mengenai kenaikan harga ikan, beliau berkata, ada laporan diterima tetapi belum ada laporan secara rasmi yang dibuat.

Secara umumnya, harga makanan laut di negeri ini memang terkawal dan berpatutan, katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar premis perniagaan tidak disewakan kepada pendatang tanpa izin (PTI), Yahya berkata, memang tidak patut menyewakan premis mahupun lesen perniagaan kepada PTI.

“Jika ada laporan seperti ini, minta mereka yang tahu sampaikan kepada kementerian. Setakat ini tiada laporan….cakap-cakap di luar sahaja tidak guna. Kita mesti laporkan dengan jelas siapa yang meminjam atau menyewakan serta meminjamkan lesen kepada orang asing, ini patut dilaporkan.

“Kita akan ambil tindakan sepatutnya sama ada menarik balik lesen mereka atau kelulusan premis mereka jika didapati mereka benar-benar berbuat demikian,” katanya.