Ibu bapa harus manfaat bantuan khas persekolahan

0

TAWAU: Ibu bapa dinasihat memanfaatkan sebaik mungkin bantuan khas awal persekolahan yang diberi kerajaan persekutuan kepada pelajar warganegara sekolah rendah dan menengah di negara ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Tawau Nizam Datuk Abu Bakar Titingan berkata bantuan kewangan itu harus diguna untuk membeli keperluan persekolahan anak masing-masing.

“Bantuan itu harus diguna untuk tujuan kebajikan dan untuk pendidikan anak-anak dan saya harap bantuan itu dapat meringankan beban para ibu bapa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran bantuan khas awal persekolahan 1Malaysia Tahun 2014 di Sekolah Kebangsaan Kinabutan Besar, di sini semalam.

Beliau berkata ibu bapa juga perlu menghargai pelbagai bantuan yang telah disalurkan kerajaan untuk membantu meringankan beban dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Kita juga perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan bantuan khas ini dan ia menunjukan kerajaan sentiasa memahami situasi ibu bapa terutama ketika sesi persekolahan bermula,” katanya. — Bernama