Langkah wajar, jadi iktibar

0

Pelaksanaan batal lesen pandu bahaya disambut baik

KOTA KINABALU: Pelaksanaan pembatalan lesen serta merta mulai akhir bulan ini terhadap pemandu yang memandu dengan cuai dan berbahaya disambut baik.

Terdahulu dalam laporan akhbar, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi berkata, pembatalan itu akan dilakukan setelah sistem profil pemandu dikuatkuasakan.

Katanya, sistem baharu itu menggantikan sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang menggantung dan membatalkan lesen mengikut sistem demerit sejak Oktober lalu.

Seorang penjawat awam Noel Gabriel berkata, pelaksanaan itu disokong sepenuhnya bagi memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu.

“Usaha ini akan mengurangkan risiko kemalangan dan kemalangan jiwa apabila semua pengguna jalan raya sentiasa berwaspada dan memandu dengan cermat.

“Ini juga menjadi pengajaran kepada pemandu lain yang selalu tidak mematuhi undang-undang dan tidak memikirkan keselamatan orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Sementara itu, Dominic Lupe yang bekerja sebagai pemandu di pelabuhan juga bersetuju lesen dibatalkan serta merta terhadap pemandu yang cuai sehingga menyebabkan kematian.

Katanya, tindakan tegas dikenakan kepada kenderaan komersil yang membabitkan lori, bas, teksi dan pengangkutan awam lain juga adalah usaha yang baik dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

“Ini adalah satu usaha yang baik dan wajar dilaksanakan bagi mengurangkan kes melibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Bagi Riccie Lewis yang berkerja sebagai juru pulih anggota, usaha terbabit sangat baik memandangkan sejak akhir-akhir ini bas penumpang khususnya banyak terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan penumpang cedera parah malah mati.

“Saya amat setuju seratus peratus dengan kerajaan untuk membatalkan lesen pemandu yang cuai dan merbahaya dengan serta merta.

“Harus dipersalahkan juga syarikat-syarikat pengangkutan swasta mahupun kerajaan yang terlibat dan jika boleh menggantung atau membatalkan lesen perniagaan mereka.

“Ini kerana pihak syarikat inilah juga yang bertanggungjawab mengambil pemandu yang bermasalah dan mempunyai rekod buruk seperti pernah disaman berkali-kali dan tidak menyelenggara bas dengan baik,” katanya.

Pemandu teksi Derson Makabius juga setuju dengan usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam pembatalan lesen serta merta kepada pemandu yang memandu dengan merbahaya.

“Mereka yang sememangnya memandu merbahaya sehingga mengakibatkan kematian itu wajar lesennya dibatalkan sebagai pengajaran kepada pemandu lain,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan Alexander Achong berkata, tindakan menggantung lesen memandu selama setahun yang dilaksanakan bagi kesalahan tidak terlalu serius supaya pemandu diberi peluang kedua juga disokong.

“Mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, mecederakan dan mengakibatkan kematian orang lain wajar diberikan hukuman yang setimpal,” katanya.