Pertumbuhan ekonomi bawa kesejahteraan rakyat: KSN

0

KUALA LUMPUR: Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi membawa kesejahteraan kepada rakyat di negara ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata data yang diperolehi sehingga 2012 itu adalah berdasarkan indikator yang digabungkan antara ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta ekonomi dan sosial.

Data itu dibentangkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri pada sesi perkongsian ilmu sempena program pertukaran lawatan pegawai kanan perkhidmatan awam Malaysia dan Brunei Ke-15 di sini, semalam.

“Satu topik khusus telah diperkenalkan iaitu Indeks Kesejahteraan Rakyat.

EPU telah membentangkan kertas itu dan perbincangan telah diadakan di sekitar topik berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi itu.

Sementara itu, Ali berkata program pertukaran lawatan pegawai kanan Malaysia-Brunei itu menunjukkan jalinan hubungan dua hala yang amat rapat antara kedua-dua negara.

“Tahun ini, kita dapat meningkatkan sistem perangkaian walaupun pegawai-pegawai sudah berubah portfolio atau bersara, tetapi hubungan iniditeruskan antara kedua-dua negara,” katanya.

Program pertukaran itu yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jan, merupakan program tahunan yang dianjurkan secara giliran antara Malaysia dan Brunei sejak 1998.

Tahun ini, program berbentuk interaksi sosial itu disertai 67 pegawai kanan dari kedua-dua negara termasuk 40 pegawai kanan Malaysia yang diketuai Ali dan 27 pegawai kanan Brunei yang  diketuai Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri Brunei, Mohammad Abdoh Datuk Seri Setia Abd Salam.

Program itu turut menganjurkan aktiviti riadah berbentuk pertandingan persahabatan boling dan golf. — Bernama