Raja Permaisuri Agong mahu warga MSU ikhlas dan bertanggungjawab

0

SHAH ALAM: Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah mahu warga Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) menjadikan sifat ikhlas dan bertanggungjawab dalam setiap pekerjaan sebagai amalan soleh untuk mencipta pelbagai kejayaan membanggakan bagi universiti itu, bangsa dan negara.

Baginda yang juga Canselor MSU bertitah sehubungan itu para pensyarah dan tenaga kerja MSU perlu mengekalkan prestasi yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

“Beta percaya intipati sesebuah kejayaan lahir daripada nilai peribadi yang positif, proaktif, kesungguhan dan kerjasama erat yang perlu dibudayakan di kalangan warga MSU seluruhnya,” titah baginda pada majlis konvokesyen ke-14 MSU di sini semalam.

Tuanku Haminah bertitah baginda akan terus memberikan sokongan padu atas segala perancangan MSU yang terbukti membuahkan pelbagai kejayaanmembanggakan dan mampu mengukuhkan lagi imej dan kedudukan universiti itu di peringkat nasional.

Baginda turut menzahirkan perasaan bangga dengan pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang diraih MSU di peringkat global dan berharap MSU menjadi sebuah universiti pilihan dan terkenal di peringkat antarabangsa pada masa depan.

Dalam pada itu, Tuanku Haminah mahu para graduan MSU supaya berani, sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam apa jua perkara sertamenggunakan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh pembelajaran untuk menempuh fasa baharu dalam kehidupan.

“Jadikanlah penerokaan ilmu, serta penguasaan kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu, sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

“Adalah menjadi hasrat Beta, untuk melihat para graduan MSU terus cemerlang dalam apa juga bidang kerjaya yang diceburi, serta dapat memenuhi kehendak dan keperluan pasaran industri dan pelbagai sektor pekerjaan masa kini,” titah baginda.

Lebih 1,200 graduan MSU daripada 54 bidang pengajian menerima ijazah masing-masing dalam konvokesyen itu.

Daripada jumlah itu, 769 orang dianugerahkan ijazah di peringkat sarjana muda, 416 orang di peringkat diploma dan 35 pascasiswazah. — Bernama