1,000 umat Islam hadiri Program Sibu Berselawat – Malam Cinta Rasul

0

JOHAN SEPANDUK: Dr Annuar (kiri) menyampaikan piala dan hadiah wang tunai kepada Setiausaha Kanan MPS Morshidi Federick yang muncul johan kategori jabatan/agensi kerajaan dan badan berkanun.

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee bersama kira-kira 1,000 umat Islam setempat menghadiri Program Sibu Berselawat – Malam Cinta Rasul anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Assek dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) di sini, malam kelmarin.

Program bertemakan ‘Ke Arah Membina Generasi Yang Mencintai Rasulullah SAW itu merupakan sebahagian daripada atur cara sempena sambutan Maulidur Rasul 1435H Peringkat Bahagian Sibu tahun ini dan julung kali diadakan di sini.

Matlamat progrum itu adalah untuk memupuk semangat cintakan Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda dan mendedahkan kepada masyarakat tentang kesenian irama berselawat ke atas Rasulullah SAW melalui qasidah.

Majlis itu diserikan dengan tahsiyah/ceramah oleh Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz yang merupakan Pegawai Penerangan Hal Ehwal lslam Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Hab Halal Negeri Perak dan abang kepada penceramah terkenal negara Ustaz Kazim Elias.

Kumpulan Al-Mawlid dan Anak Warisan Kasih turut mengisi kemeriahan berselawat dengan persembahan qasidah.

Kumpulan Al-Mawlid dianggotai bekas penyanyi kumpulan R&B yang terkenal pada tahun 90-an dan awal 2000, lnnuendo dan Ruffedge dengan lagu ‘Belaian Jiwa’ dan ‘Khayalan’ manakala kumpulan Anak Warisan Kasih merupakan artis di bawah naungan lnTeam Records.

Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad, Ketua PBB Cawangan Bukit Assek Abang Yassin Datuk Abang Zainuddin dan Ketua Pemuda PBB Bukit Assek Datuk Mohd Yusna Matalie hadir sama.

Serentak dengan itu, Dr Annuar menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sepanduk pada perarakan dan perhimpunan sambutan Maulidur Rasul di Masjid An-Nur pada 14 Januari lalu.

Jabatan Imigresen yang muncul johan sepanduk terbaik keseluruhan memenangi tempat pertama kategori badan beruniform disusuli Penjara Pusat Sibu di tempat kedua dan Jabatan Pertahanan Awam.

Tempat pertama kategori jabatan/agensi kerajaan dan badan berkanun dimenangi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), kedua Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan ketiga Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.

Masjid Al Muhajirin, Jalan Sentosa muncul johan kategori masjid, surau, persatuan, kelab dan pertubuhan, diikuti Masjid Darul Amilin di tempat kedua dan PBB Cawangan Nangka di tempat ketiga.

Sanyan Holdings Bhd memenangi tempat pertama kategori firma swasta, syarikat dan institusi kewangan diikuti Malaysia Airports Bhd di tempat kedua dan Sarawak Forestry Corporation di tempat ketiga.

Pemenang bagi setiap kategori memenangi piala dan hadiah wang tunai.