APMM Kedah rampas rokok seludup bernilai RM31,850

0

HARAM: Tan (tengah) menunjukkan 2,450 karton rokok putih seludup bernilai RM31,850 dengan cukai berjumlah RM260,386 yang dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah pada sidang media di Pejabat APMM Kuala Kedah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah merampas 2,450 karton rokok seludup bernilai RM31,850 melibatkan cukai RM260,386 dalam serbuan di Sungai Kuala Kedah di sini, Sabtu lepas.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata dalam kejadian pada jam 4.45 pagi itu pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 18 dan 30 tahun yang dalam perjalanan menghantar rokok berkenaan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Beliau berkata ketika kejadian anggotanya yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot gentian kaca, dua enjin 60 kuasa kuda dalam keadaan mencurigakan memecut laju masuk ke muara Sungai Kuala Kedah.

“Kita tahan bot tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai rokok seludup jenama John King Black dan John yang diletakkan dalam beg plastik hitam serta ditutup dengan kain kanvas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi mereka ini dengan mengangkut barangan seludup dari Langkawi ke Kuala Kedah pada awal pagi bagi mengelak dikesan kerana keadaan laut yang agak gelap,” katanya dalam sidang media di Pejabat APMM Kuala Kedah, dekat sini semalam.

Tan berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Langkawi dan bekerja sebagai nelayan itu dipercayai mengambil upah untuk menghantar rokok seludup tersebut untuk diserahkan kepada individu lain.

Katanya bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu digunakan suspek untuk menyeludup rokok berkenaan turut disita dan hasil siasatan mendapati bot itu milik majikan mereka. — Bernama