Taib tidak lepaskan jawatan

1

Abdullah nafi khabar angin  menyatakan KM akan berundur dalam sedikit masa lagi

BINTANGOR:  Ketua Setia-usaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol menafikan sekeras-kerasnya khabar  angin yang menyatakan bahawa Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan melepaskan jawatan dalam sedikit masa lagi.

Apatah lagi katanya, khabar angin itu disebarkan dengan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan persaraan Ketua Menteri disebabkan desakan daripada anggota Barisan Nasional (BN).

“Khabar angin itu adalah tidak tepat dan ia pada pendapat saya adalah gimik dan permainan politik daripada sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan.

“Keputusan bersara atau tidak, itu terserah kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sendiri,” kata Abdullah ketika diminta mengulas mengenai khabar angin berhubung perkara itu, semalam.

Tambahnya, jika dilihat pada masa kini pihak yang lebih gemar atau boleh kita perkatakan pendesak ataupun pembangkit kepada isu ini adalah pihak pembangkang.

“Maka dengan itu, amat jelas sekali khabar angin yang menyatakan bahawa Ketua Menteri akan bersara disebabkan desakan daripada anggota Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, kita mahu masyarakat di negeri ini amnya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan khabar angin tersebut.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kami dalam BN Sarawak tetap dengan pendirian yang sama iaitu keputusan persaraan Ketua Menteri  adalah atas budi bicara beliau sendiri.

“Yang Amat Berhormat  lebih arif tentang suasana politik Sarawak, memahami keadaan semasa dan cabaran masa depan.

“Dalam erti kata lain, buah fikiran dan nasihat beliau masih relevan,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pengebumian mendiang Kenny Bisa, 28, yang lemas dalam tragedi bot karam di Bintangor, semalam.

Dalam pada itu katanya, rakyat Sarawak juga mesti  bersatu dalam budaya dan acuan hidup yang bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain.

“Jangan sekali kali mudah terpengaruh dengan  propaganda asing  yang permukaannya kelihatan sempurna tapi me-ngandungi inti pati yang lebih merugikan terutama bagi masyarakat Bumiputera luar bandar,” katanya.

Menjawab soalan  tentang ciri-ciri seorang Ketua Menteri yang berkelayakan untuk memimpin negeri ini pada masa akan datang, Abdullah membayangkan bahawa seseorang itu haruslah mampu merapat-kan lagi kerjasama serta persefahaman antara semua parti komponan BN Sarawak.

“Sudah pasti individu itu berpengalaman luas dalam politik dan melalui ranjau duri serta cabaran politik Sarawak.

“Pengganti beliau (Taib) juga hendaklah mampu mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya kita tidak ketinggalan untuk mendapatkan peruntukan yang sangat diharapkan.

“Pada masa yang sama, seorang pengganti Ketua Menteri perlu memiliki kebijaksanaan mengatur strategi pembangunan negeri, selain bijak menangkis serangan pembangkang,” jelasnya.