Beri peluang rakyat Sarawak berkhidmat dalam k’jaan

1

MIRI: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) harus memberi peluang sama rata kepada rakyat Sarawak untuk berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan dengan kekosongan 100,000 jawatan.

Aktivis Sosial Masyarakat Wan Zain Syed Mohdzar berkata, SPA harus memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk mengisi kekosongan dalam jawatan kerajaan.

“Jika terdapat 100,000 kekosongan, maka kerajaan harus memberi kuota sama rata kepada pencari pekerjaan di Sarawak yang rata-rata berminat untuk berkhidmat dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Wan Zain mendedahkan rata-rata lepasan sekolah dan graduan universiti ketika ini memburu pekerjaan namun peluang untuk berkhidmat dalam kerajaan adalah amat tipis.

“Hal ini kerana kita tidak tahu berapa kuota yang disediakan untuk pencari pekerjaan di Sarawak dan kita mahu biarlah jumlah kekosongan itu diagihkan sama rata sama seperti di negeri lain,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau beranggapan bahawa sistem permohonan secara talian adalah tidak bersesuaian kerana ia bukan dinilai secara profesional oleh panel yang bertauliah.

“Jika ada kekosongan jawatan, hanya beberapa calon sahaja yang dipanggil sedangkan angka yang memohon jawatan terbabit sebenarnya adalah ramai.

“Kita berharap SPA lebih telus dalam pemilihan tenaga kerja baharu terutama memberi peluang sama rata untuk rakyat Sabah dan Sarawak berkhidmat dalam kerajaan”.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa setiap kekosongan terutama bagi jawatan tinggi dalam agensi kerajaan juga wajar diberi kepada anak-anak tempatan.

“Kita memiliki ramai anak tempatan yang mampu dan berkaliber untuk memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan peluang itu harus diberikan kepada mereka yang layak,” jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan jawatan tertinggi dalam kerajaan ketika ini dipegang oleh orang Semenanjung Malaysia dan jawatan itu akan kosong semula apabila individu ini pulang ke tempat masing-masing.

“Sebab itulah kita menyarankan agar jawatan ini diserahkan kepada anak-anak tempatan yang faham dengan budaya dan latar hidup rakyat Sarawak dan mereka akan kekal di Sarawak,” ujarnya.