185 PTI ditahan dalam Ops Tanduk

0

ANTARA PTI yang ditahan bersempena Ops Tanduk di sekitar Kota Kinabalu kelmarin.

KOTA KINABALU: Seramai 185 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan sempena Ops Tanduk yang dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) Sabah, di sini kelmarin.

Pengarahnya Datuk Suhaimi Mohd Salleh berkata, daripada jumlah berkenaan, 169 daripadanya adalah warganegara Filipina dan 15 warga Indonesia.

Menurut beliau, operasi siri satu yang menyaksikan serbuan di kawasan setinggan, perumahan dan premis di sekitar Kota Kinabalu serta Penampang pada 27 hingga 28 Januari lepas itu sebagai usaha berterusan pihaknya untuk membasmi kebanjiran PTI di negeri ini.

“Ops Tanduk kali ini turut membabitkan sebanyak 376 pemeriksaan individu dengan 185 daripadanya ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah serta didapati menduduki negeri Sabah secara haram.

“Kesemua yang ditahan akan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Dalam perkembangan berasingan, Suhaimi berkata, tiada isu kesesakan tahanan di PTS sepertimana didakwa oleh segelintir pihak berikutan proses penghantaran ke negara asal PTI yang ditahan dilakukan segera oleh PPKP.

Untuk rekod, di Sabah terdapat tiga PTS iaitu di Papar, Sandakan dan Tawau yang mampu menampung kapasiti kira-kira 6,000 tahanan dalam satu-satu masa.

“Bagi makluman awam, kita mencatatkan lebih 1,000 penghantaran yang berjaya dilakukan oleh PPKP sepanjang tempoh bulan ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan bahawa tidak wujud akan masalah kesesakan tahanan di PTS yang ada di negeri ini berikutan strategi PPKP adalah bertindak melakukan penghantaran PTI ke negara asal masing-masing dengan kadar segera,” katanya.

Suhaimi berkata, proses penghantaran yang dilakukan dengan kadar segera itu dilihat mampu memberi impak positif termasuk pengurangan kos serta kebanjiran PTI di PTS-PTS sedia ada.

“Selain menjimatkan kos perbelanjaan, proses penghantaran menggunakan feri juga mempercepatkan operasi kita.

“Pengangkutan feri itu akan bertolak dari dua lokasi ke Filipina iaitu dari Sibuga, Sandakan ke Zamboanga dan Semporna ke Bungou sementara dari daerah Tawau ke Nunukan, Indonesia,” katanya.

Oleh demikian, beliau berkata PPKP Sabah akan sentiasa menerima tahanan PTI ke PTS termasuklah daripada pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Imigresen agar kebanjiran warga asing dapat diatasi dari masa ke semasa.