Rakan BN, bantulah SUPP: Chin

0

PETER CHIN

Beliau akhirnya akur dengan tekanan diterima, rayu bantuan parti komponen BN

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin akhirnya terpaksa akur dengan tekanan yang diterima parti itu hingga memaksanya merayu bantuan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Menurut Chin, jika cara itu mampu membantunya menyelamatkan parti yang tertua di Sarawak dan satu-satunya parti yang mewakili kaum Cina di negeri ini, beliau akur berbuat demikian.

“Jika ia hanya krisis dalaman yang dihadapi SUPP, kami mungkin dan pastinya mampu menyelesaikannya secara ‘dalaman’, di kalangan ahli-ahli parti.

“Namun SUPP bukan hanya berdepan dengan masalah dalaman parti ini sendiri tetapi masalah yang lebih besar lagi iaitu berdepan dengan pembatalan oleh Jabatan Perdaftar Pertubuhan (ROS), yang ketika ini membabitkan cawangan saya, Bekenu dan cawangan Piasau yang diterajui oleh (bekas pengerusi) Datuk Sebastian Ting,” ujar Chin.

“Perkara yang berlaku ini, benar-benar memberi tekanan kepada saya dan parti ini amnya.

“Sejak saya mengambil alih kepimpinan SUPP, saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyatupadukan parti ini malah hingga ke malam ini,” tambah Chin.

Justeru Chin berkata beliau merayu bantuan daripada parti yang menjadi tunjang BN di negara ini, UMNO dan parti-parti komponen BN di peringkat negeri, bagi membantu beliau menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan ROS.

“Saya perlukan bantuan UMNO. Saya perlukan bantuan PBB. Saya perlukan bantuan PRS dan saya perlukan bantuan SPDP, untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya sambil menambah SUPP mungkin tersilap namun tidak pernah melanggar undang-undang ROS, yang turut diguna pakai oleh partiparti lain.

Beliau memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Persahabatan SUPP-BN sempena Tahun Baharu Cina di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Menurut Chin, surat rayuan yang sudahpun ditandatangani oleh beliau malam kelmarin, akan diserah kepada pihak ROS dalam masa terdekat ini, sebelum tamat tempoh rayuan pada 6 Februari depan.

“Alasan SUPP amat kukuh kerana apa yang kami buat ialah mengikut perlembagaan parti dan undang-undang yang termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Justeru saya yakin dan amat berharap SUPP tidak akan sampai ke tahap di mana parti ini akan dibatalkan,” tambahnya.

Chin juga yakin melalui semangat setia kawan di kalangan parti-parti komponen BN, SUPP akan dapat mengatasi tekanan dan masalah yang dihadapi dengan ROS.

Apatah lagi katanya, SUPP sebagai parti yang tertua di negeri ini, merupakan salah sebuah parti yang telah banyak menyumbang dan bersama- sama parti komponen lain iaitu PBB, UMNO, MCA dan yang lainnya membentuk perikatan BN pada 1974.

Malah sokongan yang ditunjukkan oleh pemimpinpemimpin dan ahli-ahli parti komponen BN di sini, katanya telah memberi perangsang dan membangkitkan semangat beliau serta ahliahli SUPP yang lain untuk terus berjuang demi parti tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden SPDP merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Sibuti merangkap Pengerusi PBB Bekenu Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir merangkap Pengerusi PBB Lambir Ripin Lamat, ahli-ahli Jawatankuasa Pusat (CC) SUPP termasuk Setiausaha Agung Profesor Dr Sim Kui Hian, Ketua Pemuda Tan Kai serta Ketua Wanita Tnay Li Ping dan wakil-wakil parti komponen BN yang lain.