Usaha kerajaan kurangkan beban rakyat dipuji

0

GEORGE TOWN: Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang memuji dan menyokong langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup dalam usaha mengurangkan beban rakyat di negara ini.

Pengerusinya Datuk Lam Wu Chong berkata langkah itu adalah satu tindakan yang bijak untuk menangani isu peningkatan harga barang dan tepat pada waktunya.

“Pada hujung tahun 2013, harga barang mula melambung tinggi akibat inflasi. Kerajaan yang memahami kesusahan rakyat telah mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih dan elaun lain untuk mengurangkan beban rakyat.

“Kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan 11 butiran perbelanjaan awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, di sini semalam.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pada 15 Jan lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hid up yang dipengerusikan beliau sendiri bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan harga barang secara bersepadu.

Penubuhan jawatankuasa itu yang merupakan lanjutan daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara Menangani Kos Sara Hidup, dan diperluas skop dan peranannya, diputuskan pada mesyuarat Kabinet 8 Jan lepas.

Antara peranan jawatankuasa itu ialah menyelaras pelaksanaan dasar dan program pelbagai kementerian dan agensi terlibat dalam usaha mengurangkan beban rakyat. — Bernama