PBB buat laporan polis terhadap Teresa Kok

0

AMBIL TINDAKAN: Morshien ditemani ahli PBB Repok membuat laporan polis terhadap klip video Onederful Malaysia di Balai Polis Sarikei semalam.

Kenakan tindakan terhadap si pelaku, tingkah laku diviralkan dalam video terbabit

SARIKEI: Penyiaran klip video Onederful Malaysia didakwa membabitkan penglibatan Ahli Perlimen Seputeh Teresa Kok pada sambutan Tahun Baharu Cina lalu terus mendapat tentangan pelbagai pihak.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Repok Morshien Affandi, berkata pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap si pelaku serta tingkah laku yang diviralkan dalam video terbabit.

“Berdasarkan pemantauan kami, klip video itu disiarkan serta tersebar luas di laman sesawang You Tube dan mendapat tontonan ramai.

“Kami mendapati siaran video tersebut berbaur hasutan dan mempersenda serta ‘menyerang’ peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta kerajaan.

“Kandungan video tersebut turut memperlekeh pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama Perdana Menteri dan isteri, kes Lahad Datu dan cuba memporak-perandakan perpaduan kaum Cina dan Melayu,” jelas Morshien ketika ditemui sebaik selesai membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sarikei, semalam.

Laporan polis itu dibuat oleh wakil PBB Repok kerana disifatkan ia boleh menggugat perpaduan kaum yang membawa kesan negatif amat besar kepada semua pihak, sekiranya tidak dibanteras dan diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.

Menurut Morshien, Tahun Baharu Cina sewajarnya disambut dan diraikan dengan penuh harmoni kerana ia adalah perayaan nasional yang boleh dirasai dan dinikmati semua pihak.

“Perayaan ini memupuk perpaduan nasional dan tidak wajar dijadikan sentimen politik negatif oleh wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Tindakan tersebut boleh menanam kebencian orang Cina terhadap kepimpinan BN,” jelas Morshien.

Sehubungan itu, pihak berkuasa harus menyiasat segera penyiaran video itu sebelum situasi lebih buruk berlaku.