Bumiputera perlu ubah fikiran untuk maju, kata Abdul Karim

0

RASMI: Abdul Karim (empat kiri) memukul gong sambil diperhatikan oleh Rohani (tiga kiri), Simoi (empat kanan), Zulwali (tiga kanan), Ismawi (dua kanan), Hamdan (dua kiri) dan Mohd Yusof (kiri) pada majlis tersebut.

SRI AMAN: Kaum Bumiputera di negeri ini diingatkan agar mengubah pemikiran sekiranya ingin maju, demikian menurut Menteri Muda Pembangunan Belia dan Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, sekiranya kaum itu tidak berubah, nescaya mereka akan ketinggalan dalam segala aspek bukan hanya dalam aspek pembangunan, sosial dan politik, bahkan pembangunan diri.

Beliau yang mewakili Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata demikian semasa merasmikan Seminar Masyarakat Melayu Sri Aman anjuran Persatuan Persaudaraan Melayu Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Daerah Sri Aman di Dewan Suarah di sini, kelmarin.

Abdul Karim berkata, Bumiputera tidak seharusnya mengharapkan bantuan 100 peratus daripada pihak kerajaan sebaliknya perlu ada usaha diri sendiri untuk membangunkan diri.

“Bagi kita golongan Bumiputera, kekuatan ekonomi amat penting kerana ini adalah tonggak kepada pembangunan diri kita.

“Kalaulah kita tidak ada kekuatan ekonomi, kaum kita akan ketinggalan jauh di belakang,” jelasnya lagi.

Oleh yang demikian, katanya, kaum itu perlu belajar daripada kaum-kaum lain agar sama-sama bersaing untuk menuju ke barisan hadapan.

Turut berucap pada majlis berkenaan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Abang Shamshuddin Abang Seruji, Timbalan Residen Sosial Bahagian Sri Aman Hamdan Katang, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Yang Dipertua persatuan Dr.Zulwali Kipli Merawi serta Timbalannya Mohd Yusof Lugom.

Pada majlis itu, Abdul Karim mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada persatuan berkenaan bagi tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.