Tiada rancangan guna sistem matrikulasi: Mary Yap

0

Banyak perkara perlu diambil kira jika dilaksana di sekolah

TAWAU: Kementerian Pendidikan tidak merancang untuk mengguna pakai sistem pembelajaran kolej matrikulasi di peringkat sekolah menengah, kata Timbalan Menterinya Datuk Mary Yap Kain Ching.

Katanya banyak perkara perlu diambil kira jika mahu melaksanakan sistem itu.

“Kita belum ada rancangan, tetapi sebagai seorang pendidik saya optimis untuk melihat peningkatan demi peningkatan, namun kita akan mengambil kira semua faktor sebelum melaksanakan sesuatu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai saranan sesetengah pihak agar kementerian menggantikan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan sistem pembelajaran kolej matrikulasi.

Mengulas lanjut, Yap berkata isu PBS timbul kerana pihak yang berkenaan tidak mendapat maklumat lengkap mengenai sistem itu.

“Sistem PBS ialah antara usaha untuk menambah baik cara penilaian pelajar yang bersifat lebih holistik merangkumi aspek komunikasi, interaksi dan penglibatan dalam kokurikulum.

“Dalam sistem ini penilaian dapat dijalankan sepanjang masa dan biasanya apabila melaksanakan suatu sistem yang baharu memang mendapat bantahan dan reaksi,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, Yap berkata Kementerian Pendidikan mengadakan program penjelasan bagi memberi pemahaman kepada semua pihak berkepentingan tentang PBS dan pelaksanaannya.

Yap yang juga Anggota Parlimen Tawau sebelum itu hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di sini. — Bernama