Ahli kumpulan tarian singa ditikam

0

KOTA KINABALU: Angkara ejek mengejek, seorang lelaki warga asing terpaksa bertarung nyawa selepas menerima tikaman di leher akibat perselisihan faham dua kumpulan tarian singa di Lorong Angsa 6, Taman Pelangi, Luyang, di sini.

Mangsa, 20, mengalami kecederaan di bahagian leher dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dalam insiden kira-kira jam 11.30 tengah malam Ahad lepas.

Dikatakan sebelum insiden terjadi, mangsa yang merupakan salah seorang ahli tarian singa bersama 39 rakannya sedang menuju ke lokasi kejadian bersama pengurus mereka bagi persembahan bersempena Tahun Baharu Cina di situ.

Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian, terdapat sebuah lagi kumpulan lain sedang mempersembahkan tarian singa dan kumpulan dianggotai mangsa terpaksa menanti giliran.

Tidak berapa lama selepas itu, berlaku provokasi serta insiden ejek mengejek antara kedua-dua kumpulan dan ketika keadaan hampir menjadi tegang, salah seorang pengurus memanggil kesemua ahli pasukannya untuk beredar menggunakan sebuah lori.

Semasa di lori, mangsa kemudiannya memaklumkan pengurus mereka bahawa dia ditikam oleh seseorang tidak dikenali sebelum dikejarkan ke HQE bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Superintenden M Chandra ketika dihubungi kelmarin mengesahkan insiden berkenaan.

Menurut beliau, hasil siasatan lanjut mendapati punca kejadian adalah disebabkan berlakunya insiden ejek mengejek antara kedua-dua kumpulan sehingga menimbulkan pertelingkahan.

“Terdapat dua kesan tikaman kecil dipercayai dari senjata tajam yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

“Mangsa disahkan stabil dan kini menerima rawatan di hospital.

“Siasatan masih diteruskan dan polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.