Terbit ‘ITIN Borneon Elephant’ dalam Bahasa Melayu

0

Dr Benoit (kiri) menerangkan mengenai kandungan buku ITIN A Borneon Elephant kepada Masidi (tiga kanan), sambil diperhatikan oleh Dr Laurentius (kanan), CL Chan (dua kanan), Jaswinder (dua kiri) dan Dr Marc (tiga kiri).

KOTA KINABALU: Bagi memastikan masyarakat di negeri ini tidak ketinggalan dalam perkongsian ilmu mengenai kisah gajah borneo berumur lapan tahun yang dimuatkan dalam ‘ITIN A Borneon Elephant’, diharapkan buku itu dapat diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, memandangkan masyarakat di negeri ini terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman tidak mempunyai pemahaman Bahasa Inggeris yang baik, beliau berharap penerbitan buku ITIN A Borneon Elephant yang dilancarkan kelmarin dapat diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

Katanya, ia bagi memastikan masyarakat di negeri ini tidak ketinggalan dalam mendapatkan pengetahuan mengenai kisah kehidupan gajah yang diterbitkan itu.

Buku ITIN A Borneon Elephant yang diterbitkan oleh Natural History Publications (Borneo) itu dihasilkan oleh tiga penulis iaitu bekas wartawan New Straits Times Jaswinder Kaur Kler, Pengarah Danau Girang Field Centre (DGFC) Dr Benoit Goossens dan Pengarah Saintifik French NGO Hutan Dr Marc Ancrenaz.

Masidi melancarkan buku ‘ITIN A Borneon Elephant, turut kelihatan Dr Laurentius (kanan), CL Chan (dua kiri) serta Dr Benoit (kiri), Jaswinder (dua kiri) dan Dr Marc.

Buku yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu adalah setebal 84 muka surat dan dijual pada harga RM20 senaskah.

Buku itu mengisahkan kehidupan ITIN, iaitu gajah berumur lapan tahun. Melalui buku itu, ia membolehkan pembaca mengenali habitat, makanan dan manusia yang hidup disekitarnya.

Dr Benoit juga berharap buku itu akan diterbitkan dalam Bahasa Melayu agar ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

“Bagaimanapun, saya dan Dr Marc akan cuba mencari dana untuk menghasilkan buku ini dalam Bahasa Melayu. Kami akan cuba berbincang dengan penerbit mengenai perkara ini,” katanya.

Menurutnya, penghasilan buku ITIN A Borneon Elephant itu mengambil tempoh perbincangan yang cukup lama antara beliau dan Dr Marc.

“Kami bekerjasama sejak kami tiba di sini. Kami berbincang mengenai gajah kerana kami begitu tertarik dengan spesis ini.

“Dari situ, kami mahukan senaskah buku dihasilkan dengan informasi saintifik, banyak gambar dan mudah dibaca termasuk oleh kanak-kanak,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Buku ITIN A Borneon Elephant, di sini kelmarin.

Turut berkongsi pendapat bahawa penerbitan buku itu dalam Bahasa Melayu akan memberi manfaat kepada masyarakat tempatan adalah Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance Datuk Dr Junaidi Payne.

Katanya, ia adalah idea yang baik untuk menerbitkan buku itu dalam Bahasa Melayu.

“Saya berharap mereka yang terlibat akan berusaha menerbitkannya dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Natural History Publications (Borneo) Datuk CL Chan berkata, jika buku itu mendapat sambutan yang memberangsangkan, beliau akan melihat kemungkinan untuk menerbitkan siri lain seperti Borneo Sun Bear dan sebagainya.

Masidi berharap penerbitan buku itu akan membuka minda masyarakat Sabah sendiri supaya ada usaha dan ikhtiar untuk menjaga dan melindungi gajah borneo ini.

“Gajah borneo ini cuma ada di Borneo dan kebanyakan berada di Sabah. Adalah perlu bagi kita memastikan ia dapat dikekalkan kerana hidupan liar ini adalah salah satu daripada tarikan pelancongan di negeri ini,” katanya.

Katanya, melihat kepada pengurangan jumlah haiwan seperti Orang Utan di Sabah, sesuatu perlu dilakukan dari sekarang untuk melindungi haiwan berkenaan.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Hidupan Liar Dr Laurentius Ambu.