Kejayaan SCORE turut pengaruhi persaraan: Taib

0

SEMOGA MAKMUR: Taib dan Ragad merakam kenangan bersama tetamu kehormat pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Kuching, malam kelmarin. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mendedahkan bahawa keputusannya untuk bersara turut dipengaruhi oleh kejayaan projek ekonomi gergasi yang diterajuinya, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata, SCORE yang kini menunjukkan hasilnya, membolehkan beliau berundur dengan gembira.

Menurutnya, dia pernah menyimpan hasrat untuk bersara 10 tahun lalu, namun dinasihati oleh rakan-rakan pemimpin negeri yang mahukan beliau menunjukkan sendiri kejayaan SCORE kepada rakyat.

“Kira-kira 10 tahun lalu, kita (kerajaan negeri) memulakan SCORE dengan harapan menjadi teras dan landasan utama merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak ke tahap optimum.

“Saya gembira tidak bersara pada masa itu dan kini dapat melihat dan menunjukkan hasil yang dibawakan oleh SCORE kepada negeri ini, hari ini.

“Malah, impaknya kepada pembangunan seperti peluang pekerjaan kepada belia tidak kira kaum Cina ataupun bukan, perniagaan dan permintaan perkhidmatan yang turut meningkat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan terkaya di Malaysia.

“Bahkan respons menggalakkan daripada pelabur luar terhadap SCORE yang semakin meningkat menyebabkan saya semakin yakin bahawa SCORE berada di landasan yang betul, dan sebab itu saya bersedia untuk berundur,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Sarawak (ACCCIS) di sini, malam kelmarin.

Taib berkata, keputusannya untuk bersara disebabkan keyakinannya terhadap SCORE yang dapat membawa kebaikan jangka masa panjang kepada negeri ini.

Jelasnya, melalui SCORE, anak Sarawak disediakan dengan peluang pekerjaan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhannya.

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri kini giat memberi penekanan terhadap keperluan melahirkan modal insan yang berdaya saing serta memiliki kemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi di Sarawak bagi menampung keperluan tenaga kerja di SCORE.

“Kerajaan juga giat meningkatkan kadar penembusan teknologi maklumat (IT) di sekolah-sekolah kawasan luar bandar, di samping memperkasakan keupayaan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dalam membekalkan sumber tenaga kerja mahir dan separa mahir.

“Malah, Sarawak telah mempunyai enam IPT berstatus universiti, malah mempunyai 70 pusat latihan dan kemahiran dalam usaha untuk menampung 1.5 juta peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam pelbagai industri di wilayah SCORE,” jelasnya.

Katanya lagi, kekuatan SCORE adalah sumber tenaga yang memang sudah siap tersedia di sekeliling parameternya.

“Sumber inilah yang dirasakan sangat strategik, sekali gus menjadi pelengkap kepada banyak industri yang dibangunkan di sekelilingnya.

“Melalui SCORE, Sarawak sudah pun menerima banyak pertanyaan dan pelaburan daripada pelbagai syarikat antarabangsa dan ini semua menzahirkan peluang jangka panjang untuk warga Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan hubungan setiakawan yang erat antara Malaysia dan China telah membawa banyak faedah kepada kedua-dua negara melalui kerjasama dalam banyak bidang terutama dalam bidang ekonomi.

Beliau turut gembira dengan hubungan dua hala antara kedua-dua negara semakin kukuh di negeri ini yang telah mencapai 40 tahun.

“Tahniah dan semoga hubungan positif antara kedua-dua negara khasnya di Sarawak berkekalan.

“Saya juga berharap ia membuka lebih banyak peluang kepada masing-masing untuk menjalinkan kerjasama dan usaha sama pada masa hadapan dalam semua bidang demi kepentingan serta kebaikan kedua-dua negara dan rakyat,” jelasnya.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Konsulat China di Kuching Liu Quan, Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie, Presiden ACCCIS Datuk Wee Kok Tiong serta tetamu kehormat lain.