Taib ‘seperti bapa saya sendiri’: Karim

0

KOTA SAMARAHAN: Menganggap Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bukan sahaja sebagai pemimpin berwibawa, malah seperti bapa sendiri.

Itu antara luahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah terhadap Ketua Menteri itu yang akan bersara pada penghujung bulan ini.

Namun demikian, ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu menghormati keputusan Taib walaupun berasa amat sedih.

“Saya menganggap beliau (Taib) bukan sahaja sebagai pemimpin tetapi seperti bapa saya sendiri.

“Malah, saya juga telah mewarisi kerusi DUN Asajaya daripada beliau dan berkhidmat sebagai Setiausaha Politik beliau.

“Sebab itu, saya berasa terharu dan sedih dengan pengunduran beliau, tetapi saya menghormati keputusan tersebut kerana saya tahu umurnya semakin me-ningkat selain perlunya ada persediaan untuk pelapis lain mengambil alih tampuk kerajaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Samarahan bagi tempoh 2014-2015 di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.

Justeru, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia turut menyuarakan keyakinannya terhadap Ketua Menteri baharu nanti dalam meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

“Saya percaya pemimpin yang telah dibentuk oleh Taib ini sudah cukup bersedia untuk mengambil alih sebagai Ketua Menteri.

“Saya juga yakin Ketua Menteri baharu ini nanti akan dapat memikul tanggungjawab dengan baik dan diberi sokongan oleh semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Sarawak,” katanya.

Taib yang telah berkhidmat selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri bersara pada hujung bulan ini.

Tiga nama yang dikaitkan untuk menggantikannya ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ketua Pe-nerangan PBB Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.