Lelaki serang polis cedera ditembak

0

KINABATANGAN: Seorang lelaki warga Filipina yang cuba menyerang anggota polis dengan parang mengalami kecederaan di kaki sebelah kiri selepas terkena tembakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan sempadan Ladang Melabau, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Martin Lugu berkata, suspek berumur 40 tahun cedera di bahagian kaki kiri akibat terkena satu das tembakan.

Katanya, orang awam yang menyedari kehadiran beberapa individu yang mencurigakan di sekitar ladang dan meminta makanan sejak lima hari lepas, kemudiannya menghubungi pihak polis.

Beliau berkata, polis cuba mengesan individu terbabit namun gagal mengesannya sehinggalah pada Selasa lepas di mana sekali lagi kehadiran individu berkenaan disedari oleh penduduk di situ dan memaklumkan pihak polis.

“Pada hari berikutnya, polis menjalankan intipan di kawasan Hutan Simpan Sempadan Ladang Melabau, yang mana semasa intipan sedang di buat kelihatan seorang lelaki berjalan keluar dari kawasan blok sawit bersempadan dengan kawasan hutan simpan sambil membawa sebilah parang di tangan kanan dan sebatang kayu di tangan kiri,” katanya.

Martin berkata, ketika pihaknya cuba mendekati lelaki berkenaan, secara tiba-tiba lelaki itu bertindak agresif dengan mencabut parangnya.

Beliau berkata, polis kemudiannya melepaskan satu das tembakan amaran ke udara tetapi lelaki berkenaan terus meluru ke arah seorang anggota polis sambil mengangat parang yang dipegangnya.

“Ekoran itu, polis teah melepaskan satu lagi das tembakan ke arah kaki lelaki berkenaan untuk mempertahankan diri,” katanya.

Polis kemudiannya merampas parang yang dipegang lelaki terbabit serta sarung parang dan sebatang kayu tajam menyerupai pisau.

Hasil pemeriksaan awal, pihaknya mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Martin berkata, suspek dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk terima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Duchess of Kent Sandakan bagi rawatan lanjut.

Suspek yang kini masih menerima rawatan akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.