Rokok haram, tiada kompromi pada ‘orang dalam’ dan ‘orang tengah’

0

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk ‘orang dalam’ dan ‘orang tengah’ yang didapati memainkan peranan dalam aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok haram di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya Datuk Matrang Suhaili berkata, langkah tegas akan diambil termasuk tindakan tata tertib, sekiranya mendapati ada anggota yang terlibat secara tidak langsung atau sebaliknya dalam atkiviti berkenaan.

Menurut beliau, JKDM tidak mahu orang dalam atau orang tengah ini dilihat sebagai ‘batu penghalang’ kepada usaha berterusan jabatan itu memerangi aktiviti rokok haram yang dianggap serius khususnya di negeri Sabah.

Sambil tidak menafikan kewujudan orang tengah dalam aktiviti itu, Matrang berkata JKDM berjanji tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sedia ada termasuklah membawa perkara berkenaan ke mahkamah sekiranya mempunyai bukti kukuh.

“Saya tidak menafikan akan kewujudan orang tengah yang berperanan sama ada dalam aktiviti penjualan atau penyeludupan rokok haram ini.

“Sehubungan itu, JKDM memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat termasuk orang tengah atau orang dalam ini kerana kita tidak akan berkompromi lagi termasuk mengambil langkah mengheret mereka ke mahkamah,” katanya.

Matrang berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Ops Pacak III di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini kelmarin.

Hadir sama Mayor Bandaraya Datuk Abidin Madingkir, Pengarah JKDM Sabah Datuk Janathan Kandok dan Timbalannya Hamzah Sundang.

Mengulas mengenai Ops Pacak yang masuk siri ketiga ini, pihaknya akan meningkatkan usaha menangani aktiviti jualan rokok di kaki lima di kawasan Kota Kinabalu bersama DBKK termasuklah penggunaan senjata api ketika membuat rondaan khususnya di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

Matrang berkata, untuk rekod, di Sabah terdapat pelbagai ancaman yang pernah dialami anggota kastam atau PBT memandangkan kebanyakan individu terlibat dalam aktiviti rokok haram ini adalah di kalangan pendatang tanpa izin (PTI).

“Selepas menerima ancaman serius seperti siri ugutan dan sebagainya, kita akan mengambil langkah membekalkan penggunaan senjata api kepada anggota kastam serta PBT untuk melaksanakan operasi kali ini.

“Ia sebagai langkah mengelak daripada insiden tidak diingini menimpa pasukan kita yang terlibat dalam operasi berkenaan berikutan terdapat siri-siri ancaman serius seperti kecederaan dan kerosakan harta benda sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, Ops Pacak III terbabit akan menekankan konsep ‘kehadiran’ dengan mewajibkan semua anggota yang menyertai operasi untuk berpakaian seragam.

Sementara itu, Abidin dalam sidang media yang sama berkata, DBKK akan melaksana pemasangan 24 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan dianggap sebagai ‘panas’ dan menjadi tumpuan para penjaja rokok haram di sekitar Kota Kinabalu, Inanam dan Menggatal dalam tempoh terdekat ini.

“DBKK dengan kerjasama Jabatan Kerajaan Tempatan Malaysia sedang merancang memasang 24 CCTV melalui Program Bandar Selamat yang akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dua.

“Kita berharap menerusi CCTV itu, aktiviti penjualan rokok haram terutamanya di pusat bandaraya dapat dibanteras dari masa ke semasa,” katanya.