Serian dan Siburan dicadang jadi bahagian

0

KHIDMAT UNTUK MASYARAKAT: Manyin (duduk tengah) merakam kenangan bersama ahli majlis MDS 2014-2015 selepas majlis pelantikan semalam.

Penuhi kelayakan dari segi populasi lebih besar daripada Saratok, Betong, Mukah 

KUCHING: Daerah Serian sehingga Siburan dicadangkan untuk menjadi sebuah bahagian baharu di negeri ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, daerah itu sudah memenuhi kelayakan dari segi populasi penduduk yang lebih besar daripada Saratok, Betong dan Mukah.

“Cadangan itu adalah impian saya malah penduduk Serian dan Siburan, kami mahu merayu kepada kerajaan untuk menjadikan daerah Serian sehingga Batu 17 (Siburan) sebuah bahagian baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis Daerah Serian di Dewan Masyarakat Serian dekat sini semalam.

“Semua orang akan gembira sekiranya rayuan kami ini dapat direalisasikan oleh kerajaan dan berharap impian itu dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.

Manyin menambah, daerah Serian dan Siburan terletak di antara dua bahagian iaitu Kuching dan Samarahan.

Terdahulu dalam majlis itu beliau ketika berucap berkata, populasi penduduk dari kawasan Serian sehingga Siburan adalah berjumlah lebih 180,000 orang.

“Dari segi populasi kita sudah memenuhi kriteria, kalau ahli-ahli majlis bersama-sama meneruskan sokong pasti pucuk pimpinan akan mendengarnya,” jelasnya.

Selain itu, Manyin turut meminta agar setiap ahli majlis yang dilantik menjalankan tugas sebaik mungkin bagi memastikan pembangunan infrastruktur di kawasan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Peranan utama sebagai ahli majlis ialah untuk mewakili kepentingan masyarakat dan berkhidmat secara keseluruhannya.

“Oleh itu, adalah sangat penting bagi ahli majlis memantapkan peranan dan fungsi serta fokus kepada tanggungjawab untuk memperbaiki taraf hidup penduduk setempat,” ujarnya.

Dalam pelantikan 30 ahli majlis MDS itu, seramai 14 muka baharu diperkenalkan dan selebihnya ahli lama yang dikekalkan.

Di samping itu, lima ahli majlis yang dilantik terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di situ.

Manakala Sinde Muling dilantik sebagai pengerusi MDS dan Dr Simon Sinang Bada pula sebagai timbalannya.

Hadir sama pada majlis pelantikan itu semalam, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn, ADUN Kedup Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datu Dr Penguang Manggil, Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Wilfred Rata Nissom dan tetamu kehormat lain.