Bilik gerakan bencana dibuka di Seremban

0

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bertindak membuka bilik gerakan bencana di Seremban sejak empat hari lepas berikutan masalah kekeringan sumber air mentah dari Sungai Batang Benar, Pantai dekat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata semua jabatan dan agensi kerajaan turut berganding bahu untuk memastikan bekalan air terawat dan bersih kepada pengguna dapat berjalan dengan lancar.

“Walaupun kita tidak dapat bekalkan seperti biasa melalui paip, tapi kita nak pastikan lori tangki sentiasa ada dan memenuhi tangki statik yang diletakkan di kawasan terjejas.

“Walaupun kita belum lagi mengalami secara menyeluruh, tetapi sesetengah kawasan terutamanya di Seremban, kita telah mulakan catuan air kerana beberapa isu dan masalah yang kita hadapi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohamad berkata catuan air telah dimulakan antaranya di kawasan Sendayan, Mambau dan Rasah melibatkan 7,000 pengguna.

Katanya rumah pam di situ pada hari-hari biasa mampu membekalkan air mentah sebanyak tiga juta gelen sehari tetapi kini bekalan airnya telah kering.

Mohamad berkata antara langkah kontigensi yang diambil untuk mengatasi masalah ini ialah membekalkan air ke kawasan berkenaan menerusi 25 buah lori tangki dan lebih 40 buah tangki statik.

“Selain itu, kita telah memasang jajaran paip baharu dari kolam imbangan di Bandar Springhill, Lukut terus ke Sendayan. Kolam imbangan Bandar Springhill ini mendapat air daripada loji Bukit Tunggal dan kolam tersebut mempunyai kapasiti untuk menampung kira-kira dua juta gelen sehari.

“Kawasan di Mambau dan Rasah, kita telah pun membuka semula laluan paip lama dari loji rawatan Kuala Sawah, Rantau,” katanya menambah empangan Sungai Terip dekat sini, hanya boleh bertahan 41 hari, jika keadaan kering berterusan.

“Oleh itu, saya meminta orang ramai supaya berhemah menggunakan air. Saya harap orang ramai sama-sama membantu dalam keadaan cuaca panas sekarang yang tidak tahu bila akhirnya,” katanya. — Bernama