UNIMAS sasar projek 3A

0

SIMBOLIK PERASMIAN: Mohamad Kadim (tengah) memukul gong sebagai tanda perasmian bengkel FARBI yang bermula hari ini hingga esok. Turut kelihatan Menevidis (kiri) dan Rohaya (kanan).

Untuk diaplikasikan rakyat Sarawak, tunjuk kepentingan saintifik selain beri kesan terhadap kehidupan masyarakat

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyasarkan projek berkonsep 3A (Jimat, Mudah dan Bersesuaian atau Affordable, Accessible & Appropriateness) untuk diaplikasi oleh seluruh rakyat negeri ini.

Menurut Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, aplikasi projek yang disasarkan bertujuan menunjukkan kepentingan saintifik selain memberi kesan terhadap perkembangan kehidupan masyarakat setempat.

“Kami (UNIMAS) mahu menjalankan projek yang bersesuaian dengan permintaan rakyat selain mengamalkan konsep 3A dalam aplikasi projek yang dikendalikan.

“Kejayaan projek itu nanti akan diguna pakai dalam aplikasi kehidupan seharian dan berperanan sebagai sesuatu yang dapat memudahkan aktiviti harian masyarakat,” katanya.

Katanya kerajaan sentiasa menyokong sebarang teknologi yang dicipta yang bersesuaian serta dapat digunakan oleh masyarakat selain bertanggungjawab memberi keuntungan kepada masyarakat dalam jangka panjang.

Sebelum ini, UNIMAS berjaya merangka inovasi e-Bario sebagai keperluan masyarakat di Bario seperti pendigitan kemudahan selain turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan serta diperkenalkan kepada masyarakat Orang Asli di Pahang dan Kelantan, ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Bengkel Inovasi Tanggungjawab Perniagaan Pertama Asia Pasifik (FARBI) 2014, di sini semalam.

FARBI merupakan bengkel selama dua hari anjuran UNIMAS bersama Kumpulan Responsibility sempena Mesyuarat Tahunan Ke-3 ‘Responsibility’.

Bengkel yang bermula hari ini hingga esok, adalah untuk menggalakkan dialog membina di antara pihak berkepentingan dalam membincangkan mengenai Inovasi dan Penyelidikan yang Bertanggungjawab (RRI) bersama ahli-ahli ‘Responsibility’.

Ia disertai 13 rakan kongsi merangkumi 10 daripada institusi negara Kesatuan Eropah manakala tiga institusi dari negara bukan Kesatuan Eropah termasuk UNIMAS.

Terdahulu, Pengerusi Bengkel FARBI Dr Rohaya Mohd Nor berkata, bengkel itu dilihat sebagai peluang kepada peserta bengkel untuk berbincang secara menyeluruh mengenai RRI dalam memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

“Bengkel ini diharapkan dapat menjadi medium dalam menjalinkan hubungan rangkaian antara UNIMAS dan beberapa universiti yang terlibat dari serata dunia.

“Pada masa sama, melalui konsortium ini, peserta bengkel akan dapat mengemukakan pelbagai isu semasa yang berkaitan dengan perniagaan sebagai contoh isu halal daripada minda seorang saintis,” katanya yang juga ketua Kumpulan Kajian ‘Responsibility’ UNIMAS.

Hadir sama pada sidang media ialah Koordinator Projek ‘Responsibity’ Eropah Dr-Ing.

Zaharya Menevidis, Pegawai Perhubungan Media ‘Responsibility’ Elena Tavlaki serta Pensyarah University De’ Namur Philippe Goujon.