Lepasan ILP bergaji tinggi

1

Lee

MIRI: Semakin ramai lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri memperolehi pendapatan lima angka meskipun hanya beberapa tahun bekerja, selepas tamat pengajian mereka di sini, termasuk seorang bekas pelatihnya yang dibayar AS$350 sehari semasa bekerja di Brazil.

Menteri Muda Perhubungan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ILP Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa ILP Miri berada di landasan yang betul dengan mengambil langkah bernilai iaitu menambah kebolehupayaan pelatih diambil bekerja dan memenuhi pasaran pekerjaan.

“Kita mempunyai seorang pelatih yang dibayar gaji AS$350 sehari di Brazil, seorang lagi bekerja di Belanda dengan pendapatan RM15,000 sebulan dan seorang lagi merupakan juruelektrik dengan sebuah syarikat di Malaysia yang meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.

“Semua mereka masih berusia sekitar 20-an dan hanya beberapa tahun lalu, mereka tamat belajar di ILP Miri,” ujar Lee, selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penasihat yang pertama tahun ini di ILP Miri di sini, semalam.

Menurut Lee, situasi itu juga membuktikan bahawa pekerjaan kolar biru dalam bidang perindustrian mampu menjanjikan pendapatan lumayan dan beliau menambah kata bahawa ILP Miri amat berbangga melihat usahanya untuk menambah nilai beberapa program latihan kemahiran formal untuk pelatih menampakkan hasil.

Lee mendedahkan perkara tersebut ketika merujuk kepada kursus jangka pendek yang diadakan melalui usaha sama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), INSTEP (Petronas) dan banyak lagi.

Katanya kursus-kursus kompetensi nilai tambah seperti Pegawai Keselamatan, Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan, Kimpalan 6G, Perancah dan kebolehan lain pelatih telah melonjakkan lagi peluang mereka mendapat pekerjaan di pasaran.

Dalam perkembangan berkaitan Lee memberitahu bahawa pihaknya mungkin terpaksa menolak beberapa permohonan kerana pengambilan di ILP ketika ini telah mencapai kapasiti penuh 600 pelatih pada satu-satu masa.

Sementara itu, Lee dan jawatankuasa berkenaan semalam mengalu- alukan kedatangan Pengarah ILP Miri yang baharu Rosnah Muhamad Tahir yang mengambil alih tugas daripada Mohd Faizal Tokeran yang telah dipindahkan ke ADTEC Batu Pahat.

Pengarah baharu tersebut yang berpengalaman luas dalam bidangnya, turut berbangga kerana ILP Miri telah berjaya menghasilkan pelatih yang dicari oleh penggiat industri dan ramai daripadanya sanggup membayar upah yang sama tinggi dengan pegawai kanan kerajaan (JUSA Skala A).

Dalam pada itu Lee berkata lebih 2,580 pelatih telah lulus dan tamat kursus di ILP Miri, dengan mengambil pelbagai kursus berbeza yang ditawarkan di sini seperti kemahiran dalam teknologi komputer, teknikal, telekomunikasi, pendingin hawa dan peti sejuk, rekaan produk industri dan pemasangan paip gas.

Kursus pemasangan paip gas dan kursus elektrik antara kursus yang paling popular di kalangan pelatih dalam setiap pengambilan.

Sementara itu, Lee berharap para penggiat industri hadir ke Pesta Kerjaya Teknikal ILP Miri yang akan diadakan pada bulan April tahun ini, di mana mereka berpeluang menemu bual bakal pekerja dan menyediakan data kepada keperluan mereka yang boleh difaktorkan dalam merangka kursus-kursus yang berkaitan dengan industri.