Nancy lawat agensi-agensi di bawah seliaannya di Miri

0

KUCHING: Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan komitmen dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan awam negara serta memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sejajar dengan usaha ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri telah mengadakan satu sesi lawatan kerja ke agensi-agensi di bawah seliaannya iaitu Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Cawangan Miri, Jabatan Insolvensi (MdI) Cawangan Miri dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Cawangan Miri.

Sesi lawatan pagi tersebut adalah usaha berterusan beliau untuk mendekati kakitangan perkhidmatan awam serta menyampaikan amanat kerajaan dalam memastikan rakyat negara ini secara keseluruhannya memahami serta terdedah dengan komitmen kerajaan berhubung informasi-informasi semasa serta usaha kerajaan meningkatkan taraf kualiti kehidupan rakyat.

“Lawatan ini adalah penting bagi saya untuk memahami serta mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh tuan/puan (agensi-agensi di bawah seliaannya) agar kita dapat bersama-sama mencari jalan meningkatkan mutu perkhidmatan awam demi kepentingan masyarakat,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai di sini, semalam.

Dalam hal yang sama, beliau turut ingin melihat pegawai-pegawainya mendampingi rakyat serta memahami masalah mereka sebagai satu usaha berterusan perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang negara itu turut menegur agar pegawai-pegawai mencari jalan penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi rakyat berbanding dengan hanya mencari kesalahan semata-mata.

Pada masa yang sama, Nancy turut menasihati orang ramai yang terlibat dalam hal ehwal kebankrapan untuk pergi terus ke cawangan MDI yang terdekat agar mereka dapat mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah kebankrapan.

“Jabatan Insolvensi bukannya membankrapkan seseorang itu tetapi merupakan satu agensi yang berfungsi untuk membantu si bankrap untuk menguruskan masalah kebankrapannya dengan syarat si bankrap tersebut membantu dirinya sendiri dengan memberi kerjasama kepada jabatan tersebut, “ katanya.

Sesi lawatan itu, ia merupakan antara siri lawatan yang telah dihasratkan beliau untuk ke seluruh negara serta memaklumkan kepada masyarakat berhubung perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di bawah agensi beliau menerusi LPKP, MdI dan JBG.