Pembenihan awan jika darurat kemarau diisytiharkan: MOSTI

0

MELAKA: Operasi pembenihan awan hanya akan dilakukan jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat berikutan keadaan kemarau ketika ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata ini berdasarkan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kemarau yang dikendalikan Jabatan Meteorologi dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata sehingga semalam, Jabatan Meteorologi telah menerima permohonan bagi pembenihan awan daripada pihak pengurusan empangan di Selangor, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Permohonan tersebut telah dimaklumkan pada MKN bagi membincangkan keperluan operasi itu dan seterusnya mengemukakannya kepada Perdana Menteri supaya kos operasi dapat dibiayai kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Innocraft Sirim Melaka yang disempurnakan Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman di Batu Berendam di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembentukan awan yang sesuai dijangka berlaku pada 25 atau 26 Feb ini untuk tempoh beberapa hari.

Abu Bakar berkata Jabatan Meteorologi dan TUDM bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan di Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebaik menerima kelulusan kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata mengikut laporan kaji cuaca Jabatan Meteorologi pada hari ini (semalam), kawasan pedalaman Perak; Kelantan; Terengganu; Pahang; Selangor; Melaka; Negeri Sembilan dan Johor dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang dan awal malam.

Katanya hujan juga dijangka berlaku di Kuching, Bintulu, Miri dan Limbang di Sarawak pada sebelah petang hingga malam.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata Mosti berhasrat memperluaskan penubuhan Innocraft yang merupakan pusat kraf melalui intervensi teknologi dan inovasi ke negeri-negeri tumpuan pelancong.

Katanya pusat berkenaan mampu menjadi medium mempromosi dan memasarkan produk kraf keluaran tempatan selain menjadi pusat pelancongan di negeri tersebut.

“Penubuhan Innocraft SIRIM Melaka bernilai RM1.4 juta ini menunjukkan usaha komited kerajaan terhadap pembangunan usahawan tempatan dalam usaha merealisasikan impian menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 melalui hasil jualan produk berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi & Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata rakyat Terengganu tidak perlu bimbang tentang masalah bekalan air walaupun negeri itu turut menerima tempias akibat musim cuaca kering yang melanda seluruh negara ketika ini.

Terengganu, katanya, masih mempunyai bekalan air yang mencukupi walaupun paras air di Empangan Kenyir dekat Hulu Terengganu menunjukkan sedikit penurunan.

“Keseluruhannya, bekalan air di negeri masih terkawal, cuma rakyat diingatkan supaya tidak melakukan pembaziran melampau dengan menggunakan air bagi perkara tidak perlu,” katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut beliau, kajian oleh penyelidik dari sebuah universiti di negeri ini mendapati air di Terengganu berlebihan.

Bagi mengurangkan pembaziran, kempen kesedaran dibuat untuk menyedarkan rakyat Terengganu supaya mengamalkan langkah penjimatan air dan menjaga alam sekitar, katanya. — Bernama