BR1M diteruskan selagi ekonomi kukuh: Najib

0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat selagi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dapat dikekalkan.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi negara yang baik menjurus kepada kemampuan kerajaan melaksanakan program pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Beliau berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa sekarang, BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berdepan masalah, melalui dasar-dasar yang mengukuh dan memacu pertumbuhan ekonomi yang sihat walaupun keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu.

“Tetapi di Malaysia, kita telah dapat menentu- kan ekonomi kita serta memacu pertumbuhan ekonomi begitu baik dan bila hasil negara bertambah, kita agihkan kekayaan itu kepada rakyat,” katanya ketika berucap melancarkan BR1M 2014 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion untuk memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

Beliau berharap penambahan nilai BR1M kali ini dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan yang tinggal di bandar selain memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan ini.

Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 dan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

i-BR1M menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, ia perlu melakukan konsolidasi fiskal untuk mengekalkan momentum ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya ini perlu dilakukan secara berperingkat bagi meringankan beban rakyat di samping meyakinkan pasaran dunia bahawa kerajaan sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Perdana Menteri juga berkata penambahbaikan dalam pemberian BR1M dilakukan sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha meringankan beban hidup rakyat.

“Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, yang antara lain menyatakan mengenai pertambahan secara berperingkat jumlah pemberian BR1M.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa pelaksanaan subsidi pukal dilihat sebagai pembaziran dan ketirisan kerana ia turut dinikmati golongan yang tidak sepatutnya seperti pelancong dan pekerja asing.

“Contohnya, subsidi petrol RON95 seliter ialah 63 sen oleh kerajaan.  Bayangkan beza pengguna kereta berkapasiti rendah dan tinggi yang menikmati subsidi petrol yang sama.  Mana adilnya? Tidak adil.

“Jadi, kerajaan memutuskan untuk ubah dasar daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara berperingkat dan pindahkan penjimatan ini kepada rakyat melalui BR1M.  BR1M ialah contoh subsidi bersasar,” jelas Najib.

Perdana Menteri berkata BR1M 2014 merupakan manifestasi kepada pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan, yang menjurus kepada pengukuhan ekonomi yang sihat. — Bernama