Gajah, badak sumbu semakin terancam

0

SELAMATKAN: Ronald (kiri, berbaju oren) sewaktu membentangkan ceramah tentang dua haiwan termahal dunia, gajah dan badak sumbu yang semakin pupus oleh pemburu haram. Ceramah diadakan di UCSI petang kelmarin.

KUCHING: Malaysia merupakan ‘Gang of 8’ menyebabkan hidupan liar termahal dunia, gajah dan badak sumbu semakin terancam.

Pada Mac 2013, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah satu negara yang menjadi transit, sumber dan pengimport gading dunia menyertai China, Kenya, Filipina, Thailand, Uganda, Tanzania dan Vietnam.

Rampasan tangkapan dicatatkan sebelum ini pada Disember 2012 di Pelabuhan Klang apabila kapal dari Togo ke China membawa barang rampasan yang ketiga terbesar dalam tempoh 12 bulan.

Pada Julai 2013 pula, Kenya merampas 3.3 tan gading dipercayai dari Uganda ke Malaysia manakala pada Oktober 2013 tiga tan gading keluar dari negara ini ke Hong Kong dan Haiphong.

Menurut penceramah jemputan, Dr Ronald Orenstein yang juga merupakan seorang aktivis hidupan liar, masyarakat Vietnam dan China mempercayai ia (gading) mempunyai sumber ubat-ubatan bagi membantu mengubati kanser.

“Bukan itu sahaja, ia juga digunakan sebagai cenderamata dan hadiah kepada orang atasan dan kenamaan di beberapa negara,” kata Ronald sewaktu membentangkan ceramah bertajuk ‘Ivory, Horn & Blood’ anjuran Pusat Biodiversiti Sarawak dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Sarawak itu malam kelmarin.

Beliau yang juga merupakan pemegang ijazah Doktor Falsafah (phD) dalam bidang Zoologi daripada University of Michigan, Amerika Syarikat dan LL.B (Undang-undang) daripada Univerisity of Toronto sebelum ini pernah mengarang lapan buku tentang sains dan alam semula jadi.

Beliau turut menjadi konsultan kepada Humane Society International (HSI) dan telah mewakili HSI ke banyak persidangan dan konvesyen yang diadakan oleh Konvesyen Pemerdagangan Spesies Liar Flora dan Fauna Antarabangsa (CITES) sejak 1987.

Gajah dan badak sumbu semakin pupus dan melalui banyak halangan yang mana pemburu haram perlu dididik dan rakyat harus diberi kesedaran berkaitan perkara itu, jelasnya.

Lebih 1,000 renjer hutan meninggal akibat dibunuh oleh militan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan 183 renjer hutan mati di dalam sesebuah kawasan hutan simpan demi mendapatkan tanduk dan gading binatang berkenaan.

Katanya terdapat beberapa jenis gajah yang masih wujud sehingga kini iaitu gajah African Savanna (Loxodonta Africana), gajah African Forest (Loxodonta Cyclotis) dan gajah Bornean Pygmy (Elephas Maximus Borneensis).

“Spesies badak sumbu yang masih wujud di dunia sekarang hanyalah badak sumbu Java (Rhinoceros Sondaicus), badak sumbu Greater One-Horned (Rhinoceros Unicornis) dan badak sumbu Sumatera (Dicerorhinus Sumatrensis).

“Tangkapan dan rampasan yang telah dibuat bermula Januari sehingga Disember tahun lepas adalah 41.5 tan gading gajah dengan jumlah kematian gajah sebanyak 41,500 ekor oleh pemburu haram.

“Krisis berkenaan dengan gading gajah telah berlaku begitu lama sejak era 1980-an lagi dan hampir 600,000 gajah dibunuh antara tahun 1979 hingga 1989 sahaja,” tambahnya.

Apabila kempen pengharaman itu dijalankan di Asia, harganya turun kepada AS$2 per kg dan di Jepun pengeluarannya jatuh kepada dua suku dan pengukir gading gajah di Asia Timur tidak mempunyai perniagaan.

Begitu halnya dengan tanduk badak sumbu yang perlu dimiliki oleh setiap lelaki muda Yaman yang sudah mengalami akil baligh dan pada masa itu sekitar tahun 90-an Taiwan merupakan pengimport terbesar bagi tanduk badak sumbu.

Selepas itu, di Yaman fatwa dikeluarkan pada 1992 dan China mengharamkan dagangan domestiknya pada 1993 dan Taiwan memberhentikan importnya pada 1994.

Bagaimanapun terdapat golongan mereka yang mahukan perniagaan gading dibuka semula dan lebih 50 tan gading dari Botswana, Namibia dan Zimbabwe dihantar ke Jepun pada 1997 bernilai lebih kurang AS$4.7 juta, tegas Ronald.

Pada 2007, perdagangan gading dibuka semula dengan Jepun dan China sebagai pembeli sah.

Sebanyak 62,333kg gading pada 2008 dijual kepada China dan 39,434kg dijual ke Jepun dengan harganya dua kali ganda antara 2007 hingga 2009.

Pemburu haram banyak membunuh haiwan liar yang bernilai tinggi itu di negara-negara Afrika dan China menunjukkan minat terhadap pasaran gading gajah yang menyebabkan permintaannya semakin tinggi.

Pemburu haram yang membunuh haiwan liar ini terdiri daripada mereka yang dilatih sebagai militan dan gerila di negara terbabit yang mana mereka dikerah bagi membeli senjata api.

“Gading memberi keuntungan kepada gerila Al-Shabaab dengan anggaran nilai sebanyak AS$200,000-AS$600,000 sebulan dan dipercayai 40 peratus daripadanya digunakan untuk tujuan operasi militan.

“Mereka juga bertanggunjawab terhadap kematian 62 orang di dalam pengeboman pusat beli-belah Westgate di Nairobi.

“Tanduk badak sumbu pula bernilai AS$65,000 per kg juga dijalankan oleh sindiket,” katanya.

Beliau berharap kerajaan Malaysia dan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia bagi memelihara kedua-dua haiwan itu akan membantu mengurangkan kepupusannya suatu hari nanti.

Lebih kurang 85 peserta daripada kalangan orang ramai hadir mendengar ceramah Ronald yang berlangsung selama sejam itu.