Kerajaan disaran tempatkan doktor di Klinik 1Malaysia di Sabah

0

TAWAU: Kerajaan disaran menempatkan doktor secara kekal di semua Klinik 1Malaysia di Sabah bagi meningkatkan keyakinan masyarakat.

Ini kerana kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming, beliau menerima laporan ramai pesakit sanggup kehospital kerana tidak yakin dengan kualiti perkhidmatan Klinik 1Malaysia.

“Mereka tidak yakin ke Klinik 1Malaysia kerana tidak ada doktor di situ dan lebih rela ke hospital besar walaupun terpaksa menunggu lama,” katanya semasa merasmikan Klinik 1Malaysia di Taman Sejati, Semarak, di sini semalam.

Pang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai turut yakin dengan langkah itu penubuhan Klinik 1Malaysia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi yang turut hadir berkata Klinik Kesihatan Sungai Tamang di Pulau Sebatik akan ditutup bermula minggu depan kerana keadaannya yang sudah tidak selamat.

“Klinik itu sudah uzur dan kawasan klinik yang berada di tepi pantai juga berbahaya kerana ada kejadian tanah runtuh di belakang klinik,” katanya.

Menurut Dr Christina, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi untuk pembinaan klinik baharu.

“Sementara menunggu pembinaan klinik baharu, Jabatan Kesihatan Sabah akan mengadakan klinik bergerak ke kawasan itu yang akan bermula minggu depan. Klinikini akan diadakan seminggu sekali namun kalau bebannya tinggi kekerapan akanditambah bagi kemudahan kira-kira 5,000 penduduk di situ,” katanya.

Mengenai pembinaan hospital kedua Tawau di Jalan Chong Tien Vun, Dr Christina berkata pelaksanaannya mengikut jadual.

“Hospital itu dijangka beroperasi mengikut jadual menjelang tahun depan,” katanya. — Bernama