KWNP berpotensi jadi destinasi pelancongan lestari

0

PULIHARA: Dr Abdul Rahman menanam pokok bakau selepas merasmikan Hari Tanah Lembap Peringkat Negeri 2014.

KUCHING: Taman Negara Tanah Lembap Kuching (KWNP) mempunyai potensi besar dijadikan destinasi pelancongan lestari kerana mempunyai banyak tarikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, antara tarikan yang terdapat di KWNP termasuk kelip-kelip, ikan lumbalumba, lotong dan orang Belanda (Proboscis Monkey).

Menurutnya, pengusaha pelancongan di negeri ini perlu merebut peluang untuk mempromosikan KWNP.

“Tempat ini mempunyai banyak tarikan termasuk orang Belanda yang kebanyakannya hanya hidup di Kepulauan Borneo selain kelipkelip, ikan lumba-lumba dan lotong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Tanah Lembap Peringkat Negeri 2014 di KWNP semalam.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, KWNP juga mudah untuk dikunjungi kerana terletak berhampiran pusat bandar.

Menurutnya, kawasan tanah lembap berfungsi sebagai penapis semula jadi kepada bahan-bahan cemar yang terdapat di dalam air sungai sebelum dialirkan ke kawasan tadahan.

“Fungsinya sebagai penapis tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan jika kawasan ini tidak dipelihara dengan baik.

“Kemusnahan kawasan ini akan menyebabkan peningkatan kadar pengaliran air permukaan sekali gus menjejaskan kualiti air dan hidupan di dalamnya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, penglibatan agensi swasta dalam aktiviti penanaman pokok adalah penting untuk memelihara dan melindungi kawasan tanah lembap.

“Ini kerana aktiviti penanaman pokok dapat memulihkan semula kawasan yang terjejas dan mengalami kerosakan sama ada secara semula jadi atau kegiatan manusia,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah Hutan Sarawak Sapuan Ahmad dan Pengurus Besar Petronas Sarawak Shamsur Taha.