Masih ramai usahawan luar bandar tidak guna sistem ePerolehan: Aishah

0

PADANG BESAR: Masih banyak usahawan dan pembekal di kawasan luar bandar tidak menyedari kelebihan menggunakan sistem ePerolehan untuk membida tender yang dibuka oleh jabatan dan agensi kerajaan.

Penolong Pengarah Kanan Unit ePerolehan Kementerian Kewangan, Aishah Othman berkata walaupun sistem itu sudah diguna pakai sejak 1999, namun masih ramai usahawan tidak menggunakan kemudahan itu untuk mengetahui produk atau perkhidmatan yang diperlukan kerajaan.

Justeru, katanya program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (CTC) menerusi Unit Van Bergerak ePerolehan dilancarkan tahun lepas bagi meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan usahawan dan pembekal.

“Melalui program CTC ini kita memberi penerangan secara jelas serta dapat menjawab kemusykilan mereka,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada program CTC di FELDA Chuping di sini, semalam.

ePerolehan ialah sistem tender kerajaan pusat yang merangkum semua tender kerajaan yang boleh diakses melalui laman sesawang www.eperolehan.gov.my.

Aishah berkata banyak usahawan tidak menyedari bahawa dengan hanya bayaran RM450 untuk mendaftar dengan ePerolehan, mereka layak menghantar sebut harga, mendapatkan dokumen tender dan menghantar tawaran tender untuk tempoh tiga tahun tanpa dikenakan caj tambahan.

“Memasuki tender melalui ePerolehan lebih telus. Sebelum ini mereka mungkin perlu bergantung kepada hubungan baik dengan pegawai tertentu di jabatan atauagensi berkenaan untuk mendapat tender tetapi melalui sistem ini ia tidak perlu.

“Cara ini sebenarnya mudah dan dapat membasmi peranan orang tengah yang mengenakan caj. Keputusan tender juga boleh disemak dalam talian. Kita bersedia melatih mereka cara menggunakan laman sesawang ePerolehan,” tambahnya. — Bernama