BR1M tidak akan dapat kekang kenaikan kos sara hidup

0

MIRI: Meskipun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu membantu meringan beban rakyat, namun ia tidak akan dapat mengekang kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar tidak menafikan ia mampu membantu meringankan beban rakyat namun ia juga menjadi alasan kepada peniaga untuk menaikkan harga barang.

“Tidak mustahil terdapat segelintir peniaga akan menaikkan harga barang kerana mereka beranggapan rakyat di negara ini sudah menerima ‘gaji atau komisen’ daripada kerajaan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau memberitahu, BR1M membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat namun secara jangka panjang, ia akan menambah lagi kos sara hidup rakyat.

“Bantuan RM650 terbabit boleh habis dalam sekelip mata namun rakyat akan terus menanggung kos sara hidup yang sentiasa meningkat dan tidak mampu dikekang dengan hanya pemberian wang tunai,” katanya.

Apapun katanya, peruntukan RM4.5 bilion ini wajar disalurkan untuk tujuan lain yang dapat membangunkan sosioekonomi rakyat terutama pembangunan infrastruktur dan pendidikan.

Menurutnya, peruntukan bagi pembangunan infrastruktur di Sarawak seperti yang dibentang dalam Belanjawan 2014 lalu adalah tidak mencukupi bersandarkan kepada bentuk muka bumi Sarawak.

“Sarawak sangat luas dan memerlukan satu peruntukan tambahan untuk pembangunan infrastruktur.

“Jika kerajaan mengagihkan sebahagian kecil peruntukan RM4.5 bilion untuk pembangunan Sarawak, maka tidak mustahil landskap Sarawak juga akan berubah wajah,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju agar BR1M diteruskan kerana ia hanya salah satu usaha jangka pendek kerajaan membantu rakyat dalam berdepan dengan kenaikan harga barang.

“Ramai yang beranggapan ia hanya satu inisiatif jangka pendek kerajaan bahkan rakyat tidak akan terlepas daripada berdepan dengan pertambahan kos sara hidup ketika Malaysia sedang menuju status negara maju,” ujarnya.