Kawalan keselamatan di FELDA Sahabat diyakini penduduk

0

LAHAD DATU: Penduduk di FELDA Sahabat tidak lagi bimbang dengan tahap keselamatan mereka khususnya ancaman penceroboh dari negara jiran berikutan kawalan ketat pasukan ke-selamatan selepas insiden pencerobohan 100 pengganas Sulu di Tanduo pada 12 Feb tahun lepas.

Pengerusi Majlis Belia FELDA Sahabat 4 dan 5 Sudirman Katani, 33, berkata keselamatan di sini sudah kembali pulih dan penduduk menjalankan aktiviti hari-an seperti biasa tanpa rasa bimbang.

Katanya keadaan itu berbeza sebelum insiden pencerobohan itu berlaku, wujud rasa risau terhadap tahap keselamatan disebabkan kawasan FELDA Sahabat terletak tidak jauh dengan pulau yang berpenduduk di perairan Filipina.

“Selain anggota polis dan tentera, pasukan keselamatan yang lain seperti Polis Bantuan FELDA dan RELA juga turut membantu menjaga keselamatan seluruh kawasan kampung dengan membuat rondaan setiap hari pada waktu malam,” katanya kepada Bernama di FELDA Sahabat di sini.

Beberapa pos kawalan pasukan keselamatan diwujudkan di kawasan di sekitar FELDA Sahabat dan perkampungan dalam Zon Labian khususnya di pesisir pantai berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo.

Dua batalion Angkatan Tentera Malaysia ditempatkan berkawal di pos kawalan sekitar Zon Labian dan FELDA Sabah, yang kini diletakkan di bawah pengawasan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya rondaan oleh Polis Bantuan FELDA dan RELA itu juga membantu menangani masalah sosial di kawasan itu sekali gus dapat membanteras jenayah curi dan dadah.

Ketua Gerakan Persatuan Wanita FELDA Sahabat Jaitun Bintang, 48, juga mengakui keselamatan di kampung berkenaan me-ningkat khususnya dengan tertubuhnya ESSCOM yang berperanan menyelaras pasukan keselamatan di kawasan FELDA dan Zon Labian.

“Keadaan di kawasan FELDA Sahabat ini tidak akan kembali seperti sedia kala selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu tanpa komitmen daripada kerajaan dan pasukan keselamatan,” katanya.

Ketika insiden pencerobohan itu berlaku tahun lepas, Jaitun mengetuai kumpulan wanita FELDA Sahabat memasak makanan untuk anggota tentera yang bertugas.

Hassan Tudok, 52, yang sudah 25 tahun menetap di FELDA Sahabat 5, turut amat menghargai usaha kerajaan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu. — Bernama