JKDM Sabah rampas rokok seludup

0

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas rokok seludup bernilai lebih RM100,000 dengan cukai RM424,027.36 di Semporna pada Ahad lepas.

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Sabah Hamzah Sundang berkata, rokok-rokok itu dirampas hasil serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Airport, Jalan Lapangan Terbang.

“Operasi ini diketuai Penguasa Kastam, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu, Mohd Asri Muskil bersama sepasukan lapan pegawai penguatkuasa,” katanya semasa ditemui di Wisma Kastam di sini kelmarin.

Hamzah berkata, kesemua eksibit dirampas dan dibawa ke Pejabat Kastam Semporna untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati kesemua eksibit tidak lulus Kastam.

Menurutnya, eksibit terbabit tidak memenuhi kriteria melekatkan dakwat keselamatan MY/ label cukai, For Export Only, Not For Sale To Minors dan tiada amaran Kerajaan Malaysia ‘Merokok Membahayakan Kesihatan’.

“Ini menunjukkan kesemua barangan itu gagal memenuhi syarat seperti termaktub di Butiran I, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012,” katanya.

Beliau berkata, rokok-rokok itu disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor dan menggunakan deretan reban ayam di sekeliling rumah terbabit untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada sebarang tangkapan suspek dibuat namun pihaknya sedang menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek yang mempunyai kaitan dengan rokok-rokok berkenaan.

Menyentuh perkembangan berasingan, Hamzah berkata Bahagian Penguatkuasaan Kastam turut merekodkan kejayaan rampasan bernilai lebih RM3,600 dan menahan lapan suspek untuk membantu siasatan.

“Kejayaan ini adalah hasil operasi khas kita di pasar gantung dan kedai sekitar Tawau melibatkan pelbagai barangan belum lulus Kastam,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua JKDM Tawau, Yunos Tahir.